Laungan 'Hidup Tan Sri, Hidup Abah' sambut kehadiran Muhyiddin pada Mesyuarat Pimpinan Tertinggi BERSATU

Laungan 'Hidup Tan Sri, Hidup Abah' sambut kehadiran Muhyiddin pada Mesyuarat Pimpinan Tertinggi BERSATU

nooratiqah.sulaiman@bh.com.my

Kuala Lumpur: Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin tiba di Menara Yayasan Selangor bagi mempengerusikan Mesyuarat Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di sini.

Ketibaan Presiden BERSATU pada jam 8.40 malam itu turut disambut penyokong dengan laungan “Hidup Tan Sri, Hidup Abah.”

Antara yang dilihat hadir ialah Timbalan Presiden Parti BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dan Ahli MPT BERSATU, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Datuk Rosol Wahid.

Mesyuarat itu dijangka membincangkan mengenai kemelut yang melanda parti itu termasuk beberapa nama Ahli Parlimen yang didakwa menarik sokongan kepada Ahli Parlimen Pagoh itu.

Sebelum ini, tular di media sosial dokumen ditujukan kepada Muhyiddin yang ditandatangani 16 Ahli Parlimen parti itu sekaligus melahirkan kebimbangan terhadap pergolakan dalaman parti.

Kandungan dokumen itu antara lain menyebut pendirian mereka yang beranggapan tindakan memecat Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal sebagai tindakan tidak bijak serta mengganggu momentum sokongan rakyat terhadap Perikatan Nasional (PN).

Antara yang menandatangani dokumen itu ialah Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota); Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah) dan Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu).

Bagaimanapun setakat ini, tidak ada mana-mana pihak termasuk 16 Ahli Parlimen BERSATU yang disebut dalam dokumen itu tampil mengulas atau menafikan berkenaan dokumen yang tular terbabit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top