am@hmetro.com.my
Kota Belud: Ribuan penduduk berhimpun membanjiri padang di pekan daerah ini bagi menuntut keadilan atas kematian tragis Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, pelajar yang ditemukan tidak sedarkan diri berhampiran asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, bulan lalu.
Himpunan solidariti bermula jam 7 malam itu menyaksikan ribuan peserta berpakaian hitam memenuhi padang pekan ini sambil membawa sepanduk dan kain rentang bertulis ‘Justice For Zara’.
Turut hadir penduduk dari Kota Marudu dan Kudat, terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan peringkat umur.
Pengerusi penganjur, Nurul Fadzilah Noordin, berkata penyertaan luar biasa itu membuktikan perpaduan masyarakat demi isu kemanusiaan, merentasi sempadan politik dan sosial.
“Kita berdiri bersama-sama menuntut keadilan untuk Zara Qairina,” katanya ketika berucap di hadapan hadirin ketika perhimpunan itu tadi.
Sepanjang perhimpunan, polis ditempatkan di lokasi bagi memastikan keselamatan, manakala papan putih dan sebuah kereta Perodua Myvi digunakan untuk mengumpul tandatangan sokongan.
Air mineral turut diedarkan secara percuma kepada orang ramai.
Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai lalu selepas ditemukan pada jam 4 pagi, 16 Julai, di kawasan longkang berhampiran asrama sekolah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




