Lautan merah-biru dan The Blues satukan ribuan penyokong di SSI

Lautan merah-biru dan The Blues satukan ribuan penyokong di SSI

PEKARANGAN Stadium Sultan Ibrahim (SSI) bertukar menjadi “lautan merah-biru” seawal 3 petang tadi apabila gelombang penyokong yang menyarung jersi Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Chelsea FC mula membanjiri venue berprestij itu menjelang perlawanan persahabatan antarabangsa antara kedua-dua kelab. 

Penyokong pelbagai peringkat umur daripada generasi veteran yang membawa keluarga hinggalah kelompok belia tampil menyarung baju pasukan masing-masing turut tidak melepaskan peluang bergambar berlatarbelakangkan seni bina ikonik SSI.

Gerai jualan cenderamata rasmi perlawanan menjadi antara tumpuan utama, dengan barisan panjang dibentuk penyokong yang berhasrat mendapatkan barangan edisi terhad.

Bahang perlawanan turut dirasai dengan kehadiran penyokong dari luar Johor dan negara jiran, iaitu Singapura yang mengambil kesempatan hujung minggu untuk menyaksikan kelab elit Eropah itu beraksi secara fizikal di Malaysia.

Tinjauan Bernama setakat jam 7 petang mendapati aliran trafik di laluan utama menuju ke stadium dilaporkan perlahan namun terkawal di bawah kawalan ketat Polis Diraja Malaysia bagi memastikan kelancaran pergerakan kenderaan menjelang sepak mula pada 8 malam.

Bagi penyokong Chelsea dari Bangsar, Kuala Lumpur, Ahmad Danial Muhammad, 28, peluang menyaksikan kelab kegemarannya beraksi di tanah air adalah satu detik yang tidak boleh dilepaskan.

“Saya peminat tegar Chelsea sejak zaman Didier Drogba… apabila dapat tahu mereka beraksi di SSI, saya terus dapatkan tiket… ini peluang seumur hidup untuk lihat bintang EPL tanpa perlu terbang ke London,” katanya kepada Bernama di SSI di sini.

Peminat pasukan JDT gembira untuk menyaksikan perlawanan persahabatan antarabangsa JDT menentang Chelsea FC di Stadium Sultan Ibrahim hari ini. - Foto: Bernama

Peminat pasukan JDT gembira untuk menyaksikan perlawanan persahabatan antarabangsa JDT menentang Chelsea FC di Stadium Sultan Ibrahim hari ini. – Foto: Bernama

Keterujaan sama dikongsi penyokong Chelsea dari Singapura, Tan Wei Sheng, 34, yang sanggup merentas sempadan seawal tengah hari bagi mengelak kesesakan di laluan sempadan.

“Kami sekeluarga bertolak dari Singapura seawal tengah hari tadi untuk elak kesesakan di Tambak Johor. Fasiliti di SSI memang bertaraf dunia dan suasananya sangat luar biasa… kualiti permainan yang bakal ditampilkan pastinya mendebarkan,” katanya.

Sementara itu, penyokong setia JDT dari Bukit Piatu, Melaka, Mohd Khairul Anuar Ismail, 41, meluahkan rasa bangga apabila stadium kebanggaan Harimau Selatan itu dipilih sebagai lokasi aksi kelab elit Eropah.

“Sebagai penyokong tempatan yang sanggup turun dari Melaka, saya bangga SSI menjadi pilihan Chelsea.

“Ini bukan sahaja ujian terbaik buat pemain JDT tetapi juga bukti kelab tempatan semakin dihormati di peringkat antarabangsa,” katanya.

Penyokong JDT dari Batu Pahat, Safiyah Rosli, 32, pula teruja melihat kehadiran kelab bola sepak gergasi Chelsea FC beraksi di Malaysia.

“Bagi saya, kehadiran kelab gergasi seperti Chelsea ke Malaysia membuktikan kejayaan bola sepak tanah air.

“Ini mencerminkan manifestasi kejayaan dan kesungguhan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail dalam mengemudi masa depan bola sepak tanah air kita,” katanya.

Tinjauan Bernama mendapati kemeriahan itu turut diserikan dengan pembakaran suar di luar premis stadium sekali gus menggamatkan suasana di SSI. – Bernama

 

 

 

 

 

 

TAG:

 

 

 

Scroll to Top