Lavinia puas cipta kejutan

Lavinia puas cipta kejutan

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemain bolingmeningkat naik, Lavinia Kho terus mencuri perhatian apabila menjadi antara pemain muda menampilkan persembahan cemerlang pada Kejohanan Antarabangsa Milo Storm B-22 Junior All Stars di Sunway Mega Lanes, semalam.

Meskipun menerima tentangan sengit, atlet berusia 20 tahun itu tetap tenang untuk meraih kejuaraan Terbuka Wanita selain berjaya berada dalam kedudukan 10 terbaik kategori Super Junior (29 tahun ke bawah).

Prestasi Lavinia ternyata berada dalam landasan terbaik apabila mencatatkan 242 jatuhan pin dalam final stepladder sekali gus menewaskan pemenang pingat emas acara perseorangan wanita Kejohanan Dunia di Hong Kong tahun ini, Adelia Nur Irwan Syazalee (224) di tempat kedua dan Intan Nor Edryyana Nor Azliman (194) ketiga.

Kejayaan dalam Terbuka Wanita iaitu acara utama Junior All Stars yang dianggap kejohanan remaja paling berprestij di Asia kekal menjadi pencapaian terbaik dalam kariernya.

“Saya masuk stepladder dan balingan pertama terus dapat split. Sejujurnya, saya agak panik. Bermain menentang Adelia dan Intan bukan mudah kerana mereka pemain kebangsaan dan sangat bagus. Saya perlu pujuk diri supaya bertenang dan berikan segalanya. Syukur saya berjaya strike di penghujung permainan.

“Sebenarnya ini podium All Stars pertama saya dalam acara Terbuka. Ia memang tidak mudah kerana barisan peserta sangat kuat dengan kehadiran pemain dari Korea, Singapura dan Australia. Pada tahap ini, terlepas satu spare pun boleh membawa padah. Kita benar-benar perlu fokus dan pastikan setiap balingan diambil kira,” katanya.

Usaha yang diberikan itu ternyata berbaloi apabila atlet dari Sarawak itu membawa pulang RM18,000 ditambah RM3,800 selepas menamatkan saingan di tempat kelapan acara Super Junior.

Sementara itu, bagi kategori Terbuka Lelaki, pemain negara, Shaqeem Izwan Teh terpaksa akur apabila tewas 201-211 kepada pemain Korea Selatan, Kim Soo Han, dan mengakui sedikit gementar pada aksi final itu.

“Saya sebenarnya gembira kerana sasaran saya adalah untuk naik podium di All Stars dan ini kali pertama saya berjaya lakukannya. Sudah tentu sedikit kecewa kalah dalam final begitu rapat, tambahan pula dengan perbezaan hadiah wang tunai yang besar, tetapi ini tetap keputusan terbaik saya musim ini.

“Saya harap prestasi ini membantu saya dalam penilaian skuad kebangsaan. Ini tahun pertama saya dalam pasukan elit dan saya agak gementar. Saya benar-benar mahu terpilih ke kejohanan besar seperti Kejohanan Asia,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top