Madrid: Pengendali Real Madrid yang kini berada di bawah tekanan, Xabi Alonso menegaskan nasibnya boleh berubah dengan cepat menjelang pertembungan penting Liga Juara-Juara menentang Manchester City pada Khamis ini.
Los Blancos hanya menang dua daripada tujuh perlawanan terakhir dalam semua pertandingan, termasuk tewas 0-2 kepada Celta Vigo pada Ahad dalam aksi La Liga, sekali gus mencetus laporan media Sepanyol bahawa Alonso bakal dipecat jika tumbang kepada pasukan Pep Guardiola.
“Ini sebuah pasukan, sebuah kelab, kami bersatu. Dan apabila anda menjadi jurulatih Real Madrid, anda perlu bersedia menghadapi situasi sebegini dengan tenang, bersatu dan bertanggungjawab,” kata Alonso.
“Saya sangat menantikan apa yang bakal tiba, dan ia bermula esok (Khamis). Kami tahu keadaan ini boleh berubah, daripada kemarahan yang berlaku Ahad lalu, kepada keterujaan untuk berdepan City…
“Dalam bola sepak, baik atau buruk, semuanya boleh berubah dengan pantas. Perspektif boleh berubah, dan kami berada dalam fasa itu sekarang.”
Real mempamer aksi terbaik di bawah Alonso minggu lalu ketika menewaskan Athletic Bilbao 3-0 di San Mames, tetapi kembali rapuh ketika dikecewakan Celta di laman sendiri.
Alonso menegaskan skuadnya yakin mereka mampu menewaskan City serta penyerang sensasi Erling Haaland di Santiago Bernabeu untuk mengukuhkan kedudukan dalam fasa liga, di mana mereka kini berada di tangga kelima.
“Kami sudah bersedia dari segi mental, pasukan bersatu dan kami yakin kami boleh menang esok (Khamis),” katanya.
“Kami perlu bermain dengan intensiti dan kelajuan yang betul, kami perlu bersaing, itu tak perlu dipertikai.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




