syafil.syazwan@hmetro.com.my
BUKAN mudah bagi pelakon Fadlan Hazim untuk menerima tawaran membintangi filem seram terbaharu lakonannya, Nar’sata: Sekutu Setan arahan pengarah Pierre Andre.
Bukan kerana naskhah itu kurang menarik atau bayaran tidak setimpal, tetapi disebabkan satu pengalaman hitam yang masih menghantui dirinya walaupun sudah sedekad berlalu.
Menurut Fadlan, dia pernah mengalami kejadian dirasuk ketika menjalani penggambaran filem aksi, Sniper kira-kira 10 tahun lalu. Lokasi kejadian pula adalah kawasan Mimaland di Gombak yang sejak dulu dikenali sebagai lokasi ‘panas’.
“Saya masih ingat waktu itu sekitar jam 5 petang, cerah lagi. Tapi, tiba-tiba saya rasa badan panas luar biasa, mata pedih dan kepala mula berpinar. Dalam beberapa minit pertama, saya masih sedar, tapi lepas itu saya hilang kawalan diri.
“Masa itu saya rasa marah sangat tanpa sebab. Saya sendiri tak tahu kenapa? Bila pengarah datang tanya apa jadi, saya cuma ingat perasaan nak koyak muka dia.
“Mujur waktu itu produksi MIG sudah sediakan dua ustaz untuk ‘standby’. Kalau tak, saya sendiri tak tahu apa jadi,” katanya.
Tambah Fadlan, sejak kejadian itu, dia menjadi fobia dengan projek lakonan berunsurkan mistik. Lebih-lebih lagi, filem seram yang memaparkan unsur ‘gore’ atau babak berdarah yang ekstrem.
“Kalau tanya saya secara peribadi, saya tak boleh tonton cerita hantu, apatah lagi babak ‘jumpscare’ atau darah.
“Tapi, ironinya isteri saya pula peminat tegar filem seram. Dia tak layan drama, tak tonton saya berlakon pun. Tapi, kalau filem hantu, dia orang pertama ajak tonton.
“Sebab itu saya cakap, saya buat filem ini sebenarnya untuk dia. Nar’sata adalah satu-satunya projek yang dia (isteri) betul-betul teruja dan siap minta nak datang teman saya ke set.
“Selama ini dia tak pernah pun kisah nak datang (set penggambaran) untuk tengok saya berlakon,” katanya.
Menurut Fadlan, isterinya, Aiya Mukhamedsalova yang berasal dari Kazakhstan dan bekerja dalam bidang teknologi maklumat (IT) itu adalah seorang pendiam dan ‘introvert’.
Namun, difahamkan Aiya yang memberi sokongan penuh terhadap pembabitan Fadlan dalam Nar’sata kerana yakin filem itu akan memberi kelainan kepada genre seram thriller tempatan.
“Saya rasa filem ini ada elemen berbeza. Di Malaysia, filem seram dengan elemen ‘gore’ belum banyak. Tapi, kalau kita tengok trend di Netflix atau luar negara, mereka gabungkan elemen seram dengan keganasan visual.
“Jadi, saya harap Nar’sata mampu tarik penonton yang cari pengalaman menonton lebih ekstrem. Cuma dari segi persediaan, saya kena kuatkan semangat. Kali ini bukan sahaja fizikal, tapi juga rohani,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai pengalaman lama di Mimaland, Fadlan berkata, gangguan bukan sahaja berlaku kepada dirinya, malah turut dialami kru produksi lain termasuk jurukamera dan penolong pengarah.
“Ada satu waktu, kami nak jalankan penggambaran babak biasa sahaja, tapi juruaudio kami tiba-tiba naik angin.
“Dia (juruaudio) kata ada bunyi bising, macam ada orang bercakap-cakap, padahal semua kru senyap. Akhirnya kami terpaksa batalkan semua penggambaran waktu malam di situ,” katanya.
Mengenai cabaran melakonkan watak dalam Nar’sata, Fadlan akui naskhah itu banyak memerlukan kekuatan emosi, apatah lagi dengan penggunaan jampi dan ‘mantra’ rekaan yang boleh memberi kesan psikologi kepada pelakon jika tidak berhati-hati.
“Walaupun mantra itu rekaan, tapi kita risau juga kalau niat kita ketika melakonkan babak itu tersasar. Macam kita betul-betul menyeru sesuatu yang tak sepatutnya. Jadi, saya banyak buat persediaan rohani,” katanya.
Meskipun berdepan kebimbangan peribadi, Fadlan yakin projek ini mampu memberikan sesuatu yang segar kepada penonton.
“Sudah lama saya tak rasa filem seram Malaysia yang beri rasa ‘tak selesa’ macam ini. Saya harap Nar’sata dapat buka ruang baharu dalam pasaran filem seram kita,” jelasnya.
Filem Nar’sata: Sekutu Setan kini masih menjalani penggambaran dan turut dibintangi barisan pelakon antaranya Trisha Ooi, Mawar Rashid dan Khatijah Tan.
© New Straits Times Press (M) Bhd