am@hmetro.com.my
GELANGGANG aksi layar perak bakal digegarkan dengan kehadiran filem paling dinanti-nantikan tahun ini, ‘TARUNG: Unforgiven’ yang dijadualkan menemui penonton di seluruh negara bermula 7 Mei depan.
Naskhah terbitan Alpha47 dengan kerjasama Icon Pictures dan Astro Shaw itu mendapat sentuhan pengarah, Razaisyam Rashid yang menjanjikan kualiti sinematografi dan gaya visual memukau.
Majlis pelancaran yang berlangsung di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) Kuala Lumpur, baru-baru ini secara rasmi memperkenalkan barisan pelakon utama yang cukup gah.
Antara nama besar termasuk Bront Palarae, Zul Ariffin, Aedy Ashraf, Mierul Aiman, Amir Ahnaf, Azira Shafinaz, Sharifah Sakinah, Ikmal Amry dan Aeril Zafrel.
Razaisyam selaku penulis skrip dan penerbit eksekutif berkata, filem itu dianggap satu evolusi dalam kerjaya seninya.
“Filem ini berdiri atas kekuatan ‘ensemble cast’. Tema utamanya sangat peribadi iaitu ‘you vs you’. Pertarungan paling sukar adalah menentang ego dan ketakutan dalam diri sendiri.
“Ini adalah projek terbesar yang pernah kami lakukan dengan pendekatan berbeza dari segi visual, koreografi aksi dan penceritaan,” katanya.
Dalam pada itu, pelakon Aedy Ashraf turut melakar sejarah peribadi apabila memegang mandat sebagai Penerbit dan Penerbit Eksekutif di bawah syarikatnya, Alpha47.
“Pada usia 33 tahun, ini adalah risiko besar, tetapi satu evolusi buat saya. Saya terlibat secara langsung dalam pembangunan projek dan hala tuju kreatif.
“Kerjasama dengan Razaisyam adalah satu pengalaman mengujakan kerana kami berkongsi visi menghasilkan karya yang kompetitif,” kongsi Aedy.
TARUNG: Unforgiven mengisahkan seorang bekas juara silat yang diburu dosa silam susulan satu tragedi.
Dia terpaksa terjun ke kancah gelanggang haram demi menyelamatkan kakaknya tanpa menyedari musuh yang menanti adalah individu yang pernah rapat dengannya, suatu ketika dahulu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




