syafil.syazwan@hmetro.com.my
Malam gemilang Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) mencatat sejarah tersendiri buat penyanyi dan penulis lagu berbakat, Daiyan Trisha, apabila namanya diumumkan sebagai pemenang kategori Lagu Bahasa Inggeris Terbaik menerusi lagu My Home Is Where Your Heart Is.
Kemenangan itu bukan sekadar trofi pertama AIM yang berjaya digenggamnya, malah menjadi bukti perjalanan seni Daiyan selama lebih sedekad akhirnya berbalas dengan pengiktirafan.
“Alhamdulillah, saya sangat gembira dan amat bersyukur. Sejak di bangku sekolah lagi, kira-kira 17 tahun lalu, saya sudah mengimpikan untuk menang AIM.
“Malam ini, apabila dapat memegang tiga trofi sekali gus, ia benar-benar terasa manis,” katanya. Menurut Daiyan, kemenangan ini lebih bermakna kerana lagu yang diangkat sebagai pemenang itu adalah hasil nukilan dan susunan ciptaannya sendiri.
“Saya rasa seolah-olah membuktikan sesuatu kepada diri saya. Yang lebih penting, saya dapat membuatkan ibu bapa, keluarga, peminat dan rakan-rakan bangga dengan kejayaan ini,” katanya.
Menyingkap kembali perjalanan seninya, Daiyan mengakui pernah beberapa kali berasa mahu menyerah kalah.
“Banyak kali saya rasa ingin putus asa. Sebab bila kita menulis lagu, ia datang dari hati, bukan semata-mata ikut kehendak orang. Ada masanya saya fikir mungkin impian saya untuk menang AIM takkan tercapai.
“Tapi saya teruskan juga, dan malam ini apabila berdiri di atas pentas AIM, saya rasa semua pengorbanan itu berbaloi,” katanya.
Daiyan sebelum ini pernah tercalon di AIM sebanyak dua kali. Kali pertama pada 2016 menerusi lagu Stargazing, manakala kali kedua pada 2021 untuk kategori Lagu Pop Terbaik menerusi lagu Penat.
“Sejujurnya, saya sudah cukup gembira apabila lagu Penat berjaya tercalon kerana saingan dalam kategori Melayu sangat kuat.
“AIM pula berlangsung dua atau tiga tahun sekali, jadi setiap kali tercalon, saya anggap itu satu penghargaan besar.
“Kali ini rezeki berpihak kepada lagu Inggeris yang saya tulis. Walaupun saya menghasilkan lagu dalam bahasa Melayu dan Inggeris, mungkin inilah bahagian yang Allah tentukan untuk saya. Alhamdulillah,” katanya.
Dalam perjalanan kariernya, Daiyan tidak menafikan sokongan keluarga, rakan-rakan dan terutama sekali peminat tegarnya, menjadi sumber kekuatan utama.
“Menang atau tidak menang, bagi saya yang penting mereka sentiasa ada bersama saya. Mereka adalah tulang belakang saya.
“Kalau bukan kerana mereka, saya tidak mungkin berada di sini. Jadi kemenangan ini juga adalah milik mereka,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




