
Pan-gon (tengah) memantau sesi latihan pemain Harimau Malaya menjelang perlawanan persahabatan menentang Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak. (Gambar kecil: Mohd Azraai)
HARIMAU Malaya akan berdepan lawan cukup berbeza pada aksi persahabatan kali ini kerana Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea pasukan yang mempunyai kelebihan fizikal.
Jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, ia satu pendedahan terbaik buat skuad bola sepak negara melihat sejauh mana mereka mampu berdepan dengan pasukan yang mempunyai fizikal lebih tegap.
“Ramai yang mempertikaikan apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia umumkan kita akan menentang Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea kerana mahukan lawan di ranking yang jauh lebih baik.
“Namun, bagi saya, Papua New Guinea mungkin dari segi skil mereka tak banyak tapi mereka ada fizikal. Sama juga dengan Kepulauan Solomon yang berada di ranking lebih baik.
“Ini satu pendedahan yang baik untuk pasukan negara kerana sebelum ini kita selalu bermain dengan pasukan yang sama saiz dengan kita,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.
Sebelum ini, pengendali skuad negara Kim Pan-gon menafikan pasukan yang dijemput dalam perlawanan persahabatan kali ini sekadar tangkap muat, sebaliknya yakin aksi kali ini akan memberikan banyak pengalaman kepada para pemainnya.
Malah, pengendali kelahiran Korea Selatan itu menaruh harapan tinggi mahu melihat pasukannya mencatatkan kemenangan ke atas kedua-dua pasukan tersebut.
Sebagai rekod, Kepulauan Solomon berada di ranking ke-134 dunia, Papua New Guinea ranking ke-159 manakala Malaysia pada kedudukan 138.
Dalam pada itu, Mohd Azraai juga yakin pasukan negara akan dapat meraih keputusan positif dalam kedua-dua perlawanan itu berdasarkan kualiti pemain yang dikumpul oleh Pan-gon.
“Apabila Pan-gon meletakkan sasaran mahu menang, maka dia sebagai jurulatih dapat menilai bahawa pasukan mampu lakukannya walaupun akan berdepan pasukan di ranking lebih baik seperti Kepulauan Solomon.
“Pan-gon juga dapat mengumpulkan pemain tempatan dan naturalisasi yang saya sifatkan antara yang menyerlah dalam saingan liga ketika ini.
“Seperti pemain naturalisasi Paulo Josue dan Lee Tuck, ia adalah pilihan tepat untuk memanggil mereka kerana pengaruh mereka di atas padang sangat menyerlah,” katanya.