Lawatan kerja Khaled ke Melaka tumpu kebajikan anggota, kesiapsiagaan ATM

Lawatan kerja Khaled ke Melaka tumpu kebajikan anggota, kesiapsiagaan ATM

Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) memberi perhatian terhadap kebajikan anggota dan waris yang berdepan masalah kesihatan kronik menerusi penyaluran sumbangan kepada 38 penerima daripada 21 Gerup Gerak Khas (GGK) di Kem Sungai Udang, Melaka, hari ini.

Menurut MINDEF, sumbangan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kementerian dalam memastikan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan keluarga yang memerlukan mendapat sokongan sewajarnya, khususnya mereka yang berdepan cabaran kesihatan serta memerlukan penjagaan berpanjangan.

“Penyampaian sumbangan kebajikan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kementerian Pertahanan dalam memberikan perhatian terhadap kebajikan anggota dan keluarga yang memerlukan sokongan, khususnya mereka yang berhadapan dengan cabaran kesihatan serta keperluan penjagaan berpanjangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sumbangan itu disampaikan Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin ketika mengadakan lawatan kerja ke Kem Sungai Udang bagi meninjau aspek pengurusan, kemudahan latihan dan tahap kesiapsiagaan pasukan.

MINDEF berkata, Mohamed Khaled turut mendengar taklimat berhubung operasi serta tahap kesiapsiagaan pasukan yang disampaikan Ketua Staf Markas 21 GGK, Brigedier Jeneral Mohd Musyaidi Abdul Mutalib.

Dalam lawatan sama, beliau turut meninjau cadangan pembinaan gimnasium terbuka di Gimnasium Tobias dengan anggaran peruntukan RM110,000 di bawah Inisiatif Kem Santuni MADANI Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

“Penambahbaikan ini dijangka dapat meningkatkan akses anggota kepada kemudahan latihan fizikal yang lebih menyeluruh, sekali gus menyokong tahap kecergasan, ketahanan fizikal serta kesiapsiagaan operasi pasukan dalam melaksanakan tanggungjawab mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara,” ujar MINDEF.

Terdahulu, Mohamed Khaled mengadakan lawatan kerja ke Kem Terendak, Melaka bagi meninjau pelaksanaan inisiatif kebajikan yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan warga ATM, veteran dan keluarga mereka.

Beliau menyempurnakan Majlis Peluncuran Kempen Harga Istimewa Tentera Sejahtera (HITS) anjuran Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA) di Dataran Perwira, Kem Terendak.

Jelas MINDEF, kempen yang dicetuskan oleh Mohamed Khaled itu mencerminkan komitmen berterusan kementerian dalam membantu Warga Kerja Pertahanan (WKP) menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup menerusi penawaran barangan keperluan harian pada harga lebih berpatutan.

Beliau turut melawat reruai Program Ekonomi MADANI (PEM) ATM dan Kedai PERNAMA bagi meninjau pelaksanaan inisiatif penjanaan ekonomi serta kemudahan perkhidmatan runcit untuk komuniti pertahanan.

Lawatan kemudian diteruskan ke Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM Kem Terendak yang terpilih sebagai Sekolah Angkat MADANI LTAT bagi meninjau keperluan prasarana pendidikan serta mendengar taklimat daripada Ketua Eksekutif LTAT, Datuk Mohammad Ashraf Md Radzi.

Pada lawatan itu, Mohamed Khaled turut menyempurnakan penyerahan replika cek bernilai RM35,000 bagi pelaksanaan inisiatif penambahbaikan kemudahan sekolah berkenaan.

Lawatan kerja itu merupakan sebahagian daripada usaha MINDEF memperkukuh kebajikan warga pertahanan, meringankan kos sara hidup serta meningkatkan kemudahan pendidikan dan latihan, di samping memastikan tahap kesiapsiagaan ATM terus terpelihara.

Scroll to Top