
Narendra Modi, telah menangguhkan lawatan rasminya ke tiga negara Eropah. – Agensi
NEW DELHI – Perdana Menteri India, Narendra Modi, telah menangguhkan lawatan rasminya ke tiga negara Eropah susulan ketegangan yang semakin memuncak dengan Pakistan selepas serangan berdarah di Pahalgam, Jammu dan Kashmir, yang mengorbankan 26 orang awam.
India bertindak balas awal pagi Rabu dengan melancarkan serangan peluru berpandu tepat ke atas sembilan kem berprofil tinggi di Pakistan dan wilayah Kashmir yang diduduki Pakistan (PoK). Serangan ketenteraan itu dilaksanakan menerusi operasi khas yang dinamakan Operasi Sindoor, bermula jam 1.05 pagi dan berlangsung selama 25 minit.
“Kerajaan ini menunaikan janjinya – pihak yang bertanggungjawab akan dibalas setimpal,” menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan selepas serangan tersebut.
Difahamkan, PM Modi kini memantau perkembangan situasi secara dekat dan telah mengarahkan penjadualan semula lawatannya ke Croatia, Norway dan Belanda yang sepatutnya bermula pada 13 Mei. Beliau juga dijadual menyertai Sidang Kemuncak India-Nordik di Oslo pada 15 dan 16 Mei.
Ketiga-tiga negara tersebut telah dimaklumkan mengenai perubahan jadual berkenaan dan turut diberi penerangan terperinci mengenai konflik terkini antara India dan Pakistan.
Kementerian Luar India menegaskan bahawa tindakan ketenteraan yang diambil adalah terfokus, berhemah dan tidak bersifat provokatif, malah tiada kemudahan ketenteraan Pakistan yang disasarkan.
“India menunjukkan keprihatinan dan kawalan tinggi dalam pemilihan sasaran serta kaedah pelaksanaan,” kata kenyataan itu lagi.
Difahamkan, ini bukan kali pertama lawatan Modi dibatalkan akibat konflik. Pada hari kejadian serangan di Pahalgam bulan lalu, beliau yang berada di Arab Saudi ketika itu segera pulang ke New Delhi dan mengadakan mesyuarat tergempar Kabinet bagi menilai situasi.
Selain itu, satu lagi lawatan yang turut dibatalkan ialah ke Moscow sempena sambutan Hari Kemenangan Rusia pada 9 Mei.
Kerajaan India kini berusaha mengukuhkan tekanan diplomatik ke atas Islamabad dan pada masa yang sama mengambil tindakan ketenteraan bersasar bagi melumpuhkan infrastruktur militan tanpa mencetuskan perang berskala besar. – Agensi