KUALA LUMPUR – Lawatan Timbalan Perdana Menteri Thailand, Somsak Thepsutin ke Malaysia sangat signifikan dalam usaha untuk meningkatkan kerjasama dua-hala dan membincangkan isu-isu terkait di antara kedua-dua negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pertemuannya dengan Somsak secara tidak langsung dapat menterjemahkan keakraban dan hubungan baik Malaysia-Thailand yang telah lama terjalin dan sebagai negara berjiran demi kestabilan dan kemakmuran bersama.
“Pertemuan ini juga merupakan susulan pertemuan rasmi YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim Perdana Menteri Malaysia dengan Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin di mana Malaysia dan Thailand bersepakat untuk memperkukuh hubungan perdagangan, pelaburan dan kerjasama pelancongan antara kedua-dua negara,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook, hari ini.
Ahmad Zahid berharap hubungan kedua-dua negara berjiran ini akan tkekal utuh dan harmoni serta mampu membawa kelebihan dari rakyat kedua-dua negara. – MalaysiaGazette




