Milan: Lazio menamatkan impian Bologna untuk mempertahankan kejuaraan Coppa Italia apabila menang 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam aksi suku akhir, awal pagi tadi.
Bologna terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Santiago Castro pada babak pertama, sekali gus meletakkan tekanan kepada Lazio yang beraksi di laman lawan.
Bagaimanapun, Lazio bangkit sejurus bersambung babak kedua apabila Tijjani Noslin menyamakan kedudukan untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan sebelum penentuan penalti terpaksa dilakukan.
Dalam penentuan itu, Lazio tenang menyempurnakan keempat-empat sepakan mereka, manakala Bologna gagal memanfaatkan peluang apabila sepakan kapten pasukan, Lewis Ferguson diselamatkan penjaga gol dan percubaan Riccardo Orsolini pula tersasar.
Kekalahan itu sekali gus menamatkan usaha Bologna untuk mempertahankan trofi yang dimenangi musim lalu selepas menewaskan AC Milan di final, sekali gus menamatkan kemarau 51 tahun tanpa kejuaraan utama.
Lazio kini akan berdepan Atalanta dalam aksi separuh akhir dua perlawanan, manakala satu lagi separuh akhir menemukan Inter Milan menentang Como.
Perlawanan separuh akhir dijadual berlangsung pada awal Mac bagi aksi pertama sebelum timbal balik diadakan penghujung April ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd



