Kuala Lumpur: LBS Bina Group Berhad (LBS) pemaju hartanah terkemuka pilihan rakyat, mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 8.3 peratus mencecah RM1.6 bilion
bagi kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FYE2025).
Sebahagian besar perolehan ini disumbang oleh segmen pembangunan hartanah yang menjana RM1.5 bilion, atau 93.8 peratus daripada jumlah keseluruhan perolehan Kumpulan.
Pertumbuhan hasil dalam segmen ini disokong oleh kemajuan pembinaan yang lebih pesat bagi projek-projek pembangunan sedia ada, khususnya di Lembah Klang seperti LBS Alam Perdana, KITA @ Cybersouth, Prestige Residence dan Projek Idaman.
Sehubungan itu, keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti yang dinormalisasikan (PATMI) daripada operasi berterusan meningkat kepada RM125.2 juta, iaitu peningkatan sebanyak 45.2 peratus berbanding RM86.3 juta pada tahun sebelumnya.
Pertumbuhan pendapatan Kumpulan yang memberangsangkan ini turut dipengaruhi oleh asas perbandingan yang lebih rendah pada tahun sebelumnya, merangkumi kerugian pertukaran mata wang asing sekali had (one-off) susulan penyelesaian pinjaman dalam Kumpulan berikutan pelupusan Lamdeal Investment Limited.
Bagi suku keempat 2025 (Q4FYE2025), Kumpulan mencatatkan hasil sebanyak RM462.3 juta, mencerminkan peningkatan sebanyak 61 peratus berbanding RM287.1 juta yang direkod dalam suku sama pada tahun sebelumnya.
Pertumbuhan ini didorong terutamanya oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada segmen pembangunan hartanah, melonjak sebanyak 59.5 peratus kepada RM418.1 juta, berbanding RM262.1 juta sebelum ini.
Susulan itu, operasi berterusan Kumpulan mempamerkan pemulihan yang teguh, sekali gus mencatat PATMI sebanyak RM40.6 juta, berbanding kerugian sebanyak RM7.4 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Prestasi ini disokong oleh pelaksanaan pembangunan yang dipercepatkan bagi projek-projek yang sedang dilaksanakan serta realisasi kecekapan kos daripada projek-projek yang telah siap.
Mengulas keputusan berkenaan, Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Ir (Dr) Lim Hock San berkata, FYE2025 menandakan tahun pertama pelaksanaan Strategi 8 x 8, di mana prestasi kewangan Kumpulan mencerminkan keberkesanan pendekatan strategik ini.
“Kami berjaya mencapai jumlah jualan sebanyak RM1.4 bilion bagi tahun ini, melangkaui pencapaian RM1.3 bilion pada tahun sebelumnya.
“Momentum pelaksanaan projek yang stabil turut dikekalkan, dengan permintaan yang kukuh merentas pasaran utama.
“Pembangunan di Lembah Klang terus menjadi tonggak utama keuntungan Kumpulan, disokong permintaan konsisten terhadap projek kediaman dan perindustrian,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, Kumpulan akan mengendalikan pembangunan di salah sebuah perbandaran berprestij Kwasa Damansara, dengan pelancaran dijadualkan bermula pada tahun 2027.
“Selain Lembah Klang, kami juga teruja dengan jalinan usaha sama bersama Oriental Holdings Berhad untuk membangunkan projek bercampur bersepadu di Klebang, Melaka,” katanya.
Hock San berkata, sebagai pengiktirafan terhadap sokongan berterusan dan keyakinan para pemegang saham terhadap trajektori pertumbuhan Kumpulan, LBS telah meminda dasar dividennya secara rasmi.
Berkuat kuasa dari FYE2025, Kumpulan telah meningkatkan nisbah pembayaran dividen minimum daripada 30 peratus kepada 40 peratus daripada PATMI.
Dengan komitmen untuk memperkasakan nilai pemegang saham, Lembaga Pengarah telah mengisytiharkan dividen interim pertama satu peringkat sebanyak 1.3 sen sesaham biasa, yang akan dibayar pada 20 Mei 2026.
Lembaga Pengarah turut mencadangkan dividen akhir satu peringkat sebanyak 2.0 sen sesaham biasa, tertakluk kepada kelulusan para pemegang saham pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) akan datang.
Pada masa yang sama, LBS turut mengumumkan pembatalan sebanyak 10 juta saham perbendaharaan, yang mewakili 0.6 peratus daripada jumlah saham biasa terbitan, sebagai satu langkah strategik untuk mengoptimumkan struktur modal serta meningkatkan nilai kepada para pemegang saham.
“Melalui pengurangan jumlah keseluruhan saham dalam edaran, inisiatif ini dijangka meningkatkan pendapatan sesaham Kumpulan, menambah baik dividen sesaham serta mencerminkan komitmen LBS dalam menyampaikan nilai kelestarian kepada para pemegang saham,” katanya.
Setakat 31 Disember 2025, LBS mencatat baki tunai dan bank sebanyak RM653.2 juta, dengan aset bersih sesaham meningkat kepada RM1.10 berbanding RM1.05, mencerminkan kedudukan kewangan yang sihat.
Malah, jualan belum dibil sebanyak RM1.3 bilion akan terus memberikan kejelasan perolehan yang kukuh kepada LBS bagi tahun-tahun mendatang.
“Berbekalkan tumpuan terhadap pengurusan modal yang berdisiplin, prinsip kelestarian, serta permintaan pasaran yang konsisten, Kumpulan kini berada pada kedudukan yang strategik untuk memacu Strategi 8 x 8 dan memberikan nilai jangka panjang kepada pihak berkepentingan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




