LBS peroleh biaya hijau RM88.4 juta daripada Alliance Bank

LBS peroleh biaya hijau RM88.4 juta daripada Alliance Bank

PEMAJU hartanah terkemuka pilihan rakyat, LBS Bina Group Berhad (LBS) mengumumkan anak syarikatnya, Suria Hijauan Sdn Bhd memperoleh kemudahan pembiayaan hijau berjumlah RM88.4 juta daripada Alliance Bank Malaysia Berhad.

Ia bagi membiayai kos kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) untuk projek ladang solar yang berkapasiti 43 megawatt puncak (MWp) di Senawang, Negeri Sembilan.

Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Ir (Dr) Lim Hock San berkata, projek yang dilaksanakan di bawah Program Tenaga Hijau Korporat dijadualkan siap sepenuhnya menjelang akhir tahun 2025.

Menurutnya, ladang solar tersebut dijangka menjana pendapatan stabil dan berulang, sekali gus mengukuhkan daya tahan pendapatan jangka panjang serta usaha LBS terhadap pembangunan mampan.

“Pembiayaan Hijau ini menandakan satu mercu tanda penting bagi LBS dalam usaha memperluaskan portfolio kami dalam industri tenaga boleh diperbaharui, sekali gus mengukuhkan usaha memacu kelestarian.

“Kejayaan mendapat kemudahan kredit daripada institusi kewangan ternama seperti Alliance Bank menunjukkan potensi kukuh dalam mengusahakan tenaga boleh diperbaharui kami serta keupayaan untuk memperluaskan inisiatif dalam sektor ini.

“Sokongan ini mencerminkan keyakinan terhadap hala tuju strategik dan kekuatan kewangan kami, selain memudahkan pelaksanaan projek ini dengan jayanya,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, menurut Hock San, ladang solar tersebut dijangka akan menjana kira-kira 53,000 megawatt jam (MWh) tenaga bersih setiap tahun, selain mengimbangi sekitar 35,000 tan pelepasan karbon secara berkesan.

Tambah beliau, Atlantic Blue Sdn Bhd, anak syarikat kepada Solarvest Holdings Berhad telah dilantik sebagai kontraktor EPCC di bawah kontrak bernilai RM104.0 juta, dengan kepakarannya dalam melaksanakan projek solar berskala besar.

“Inisiatif ini bukan sahaja selaras dengan aspirasi kami untuk memberi impak positif terhadap alam sekitar, malah secara strategik, melengkapi teras perniagaan pembangunan hartanah dengan mengintegrasikan produk masa hadapan bersama penyelesaian tenaga boleh diperbaharui.

“Secara tidak langsung, ia turut menyumbang kepada matlamat pengurangan pelepasan karbon di negara kami, seterusnya menyokong peralihan Malaysia ke arah ekonomi berkarbon rendah,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Kelle Kam berkata, institusi kewangan memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan mampan.

“Kami berasa berbesar hati dapat bekerjasama dengan LBS, sebuah syarikat yang nilai dan visinya sejajar dengan aspirasi kami.

“Pengumuman hari ini bukan sekadar pelancaran sebuah projek, ia merupakan titik permulaan bagi perjalanan dan matlamat di mana kami amat berbangga untuk menjadi sebahagian daripadanya,” katanya.

Scroll to Top