LBS rekod hasil RM637 juta bagi separuh pertama 2026

Kuala Lumpur: LBS Bina Group Berhad (LBS) kekal mencatat keuntungan dan merekodkan hasil lebih tinggi bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026 (Q2FYE2026), dan menyelaraskan strategi pertumbuhannya menerusi peruntukan modal yang berdisiplin, pelancaran terancang dan pengurusan kewangan yang berhemah.

Bagi Q2FYE2026, LBS mencatat hasil RM340.5 juta, peningkatan 9.9 peratus daripada RM309.8 juta pada suku sama tahun lalu, manakala keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) berjumlah RM15.1 juta.

Segmen pembangunan hartanah kekal sebagai penyumbang utama, dengan menjana hasil sebanyak RM293.1 juta dan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM30.4 juta sepanjang suku berkenaan, didorong sumbangan hasil daripada beberapa projek pembangunan yang telah siap atau menghampiri peringkat penyiapan. Sementara itu, hasil daripada segmen pembinaan dan perdagangan meningkat sebanyak 439.4 peratus kepada RM41.3 juta daripada RM7.7 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya, berikutan sumbangan lebih tinggi daripada subsidiari asing.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026 (1HFY2026), LBS merekodkan pendapatan sebanyak RM637 juta dan PATMI berjumlah RM32.1 juta, dengan sumbangan diperoleh daripada kemajuan projek pembangunan berterusan di LBS Alam Perdana, KITA @ Cybersouth di Selangor dan Centrum Iris, Cameron Highlands.

Kumpulan mengekalkan kedudukan kewangan yang kukuh, dengan deposit, tunai dan baki bank sebanyak RM591.2 juta setakat 30 Jun 2026.

Aset bersih setiap saham berada pada RM1.10 manakala ‘nisbah gearing’ bersih kekal pada kira-kira 0.35 kali, sekali gus memberi Kumpulan fleksibiliti kewangan untuk menyokong perancangan pembangunan sedia ada serta merebut peluang pertumbuhan pada masa hadapan.

Pada Julai 2026, LBS berjaya menyempurnakan terbitan ketiga Sukuk Wakalah SRI Sosial ASEAN bernilai RM150 juta dalam nilai nominal di bawah Program Sukuk Wakalah RM750 juta.

Terbitan bertempoh tujuh tahun ini memperkukuh lagi kapasiti pembiayaan dan fleksibiliti kewangan Kumpulan bagi menyokong operasi perniagaan, inisiatif pembangunan lestari serta pembangunan terancang.

Setakat 19 Ogos 2026, Kumpulan memiliki jumlah simpanan tanah seluas 3,899 ekar yang menyokong perancangan pembangunan jangka panjangnya. Jualan belum dibil LBS berada pada RM1.06 bilion setakat 31 Julai 2026, sekali gus menyediakan keterlihatan hasil bagi tahun-tahun mendatang.

Sementara itu, LBS berkata, persediaan bagi pembangunan di Kwasa Damansara berjalan lancar seperti yang dirancang.

“Apabila dilancar kelak, pembangunan itu dilihat sebagai pemangkin pertumbuhan jangka panjang yang bermakna, seterusnya memperkukuh perancangan pembangunan dan jualan masa hadapan,” katanya.

Lembaga Pengarah turut mengisytiharkan dividen tunggal interim pertama sebanyak 0.85 sen setiap saham biasa bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026, yang akan dibayar pada 19 November 2026.

Mengulas mengenai keputusan ini, Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Ir (Dr) Lim Hock San berkata, keadaan pasaran terus dipengaruhi oleh perkembangan geopolitik dan tekanan kos yang berterusan.

“Pembeli rumah pula mengambil pendekatan yang lebih berhati-hati dalam keputusan pembelian mereka.

“Oleh itu, kami melaraskan pelancaran projek seiring dengan permintaan pasaran serta menilai setiap projek berdasarkan kesesuaian produk, harga dan masa.

“Kami kekal berdisiplin dalam perancangan pelancaran dan tidak akan membawa projek ke pasaran semata-mata untuk memenuhi garis masa yang ditetapkan,” katanya.

Menurutnya, walaupun sumbangan keuntungan berada pada tahap sederhana bagi tempoh ini, Kumpulan kekal mencapai keuntungan dan mempunyai daya tahan kewangan.

“Disokong oleh rangkaian jualan sedia ada, lembaran kewangan yang kukuh serta fleksibiliti kewangan, kami kekal fokus untuk melaksanakan perancangan pembangunan kami secara berhemah sambil memposisikan LBS untuk pertumbuhan mampan jangka panjang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top