kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: LBS Bina Group Berhad (LBS) menyasarkan pelancaran 10 projek baharu di sekitar Lembah Klang, Johor dan Pahang, tahun ini, sejajar dengan komitmen kumpulan untuk memperkukuh pembangunan hartanah mampu milik dan mampan di Malaysia.
Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Ir (Dr) Lim Hock San berkata, tahun 2026 menjadi penanda aras penting dalam perjalanan kumpulan, selari dengan momentum baharu yang dibawa sambutan Tahun Kuda.
“LBS kekal komited untuk membangunkan projek yang mampu milik, mampan dan relevan dengan keperluan Keluarga Malaysia, di samping menyokong aspirasi pembentukan masyarakat MADANI yang harmoni,” katanya dalam kenyataan.
Perancangan itu diumumkan bersempena Majlis Makan Tengah Hari Tahun Baharu Cina LBS, menandakan ulang tahun ke-65 penubuhan LBS sejak ditubuhkan pada 1961, di sini, baru-baru ini.
Majlis diserikan dengan keberangkatan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, serta kehadiran kira-kira 600 tetamu terdiri daripada pemimpin negara, rakan perniagaan, wakil media dan warga kerja LBS.
Pada majlis itu, LBS turut mengumumkan pembaharuan janji jenama ‘Building Tomorrow Together’ yang mencerminkan fokus jangka panjang kumpulan dalam membangunkan komuniti lestari dan mencipta nilai berterusan untuk generasi akan datang.
Diasaskan oleh mendiang Datuk Seri Lim Bock Seng, LBS berkembang daripada syarikat tempatan kepada antara pemaju hartanah terkemuka negara dengan falsafah pembangunan berteraskan kesejahteraan komuniti, pertumbuhan inklusif serta kerjasama erat bersama pihak berkepentingan.
Hock San turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga LBS atas dedikasi dan komitmen berterusan yang menjadi pemacu utama kejayaan kumpulan selama lebih enam dekad.
© New Straits Times Press (M) Bhd




