TEL AVIV: Lebih 10 letupan kedengaran oleh wartawan AFP di Tel Aviv, pada Isnin, selepas tentera Israel menyatakan bahawa peluru berpandu baharu dilancarkan dari Iran berjaya dikesan.
Letupan-letupan itu berlaku ketika sistem pertahanan negara haram tersebut cuba memintas peluru berpandu manakala berjuta-juta penduduk di utara dan selatan Israel bergegas ke pusat-pusat perlindungan.
“Sebentar tadi (semalam), Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mengenal pasti peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran menuju ke wilayah Israel. Sistem pertahanan beroperasi untuk memintas ancaman tersebut,” menurut kenyataan tentera.
Kemusnahan besar dilaporkan berlaku selepas sebuah peluru berpandu Iran yang kuat didakwa mengenai salah satu tempat perlindungan bawah tanah paling rahsia di bandar itu, dipercayai digunakan oleh pemimpin Israel semasa perang.
Kesan hentaman tersebut mencetuskan kebakaran besar, membakar kenderaan dan menaburkan serpihan ke jalan-jalan berhampiran ketika pasukan bomba bergegas untuk mengawal api.
Kemudahan itu merupakan sebahagian daripada rangkaian pertahanan awam Israel yang dilindungi oleh sistem seperti Iron Dome.
IRON DOME
Iron Dome ialah sistem pertahanan peluru berpandu jarak dekat yang dibangunkan oleh Israel untuk menghalang dan memusnahkan peluru berpandu, roket dan projektil yang masuk sebelum ia sampai ke kawasan yang didiami orang awam.
Menurut perkhidmatan ambulans Magen David Adom, seorang daripada yang cedera di tapak pembinaan di tengah Israel telah meninggal dunia, manakala seorang lagi masih berada dalam keadaan kritikal.
Sejumlah orang cedera akibat serpihan peluru berpandu, termasuk seorang lelaki berusia 40-an yang mengalami kecederaan serius di Tel Aviv.
Serangan yang dipercayai melibatkan bom kluster ini berlaku di tengah Israel, dengan media melaporkan sekurang‑kurangnya 6 orang cedera, termasuk yang berada dalam keadaan serius.
Bom kluster adalah jenis senjata yang, apabila meletup. Ia melepaskan banyak bom-bom kecil yang boleh meletup di kawasan yang lebih besar, menyebabkan bahaya lebih meluas kepada orang awam dan harta benda.
SERANGAN
Serangan itu berlaku selepas tentera Israel berkata pada Isnin bahawa mereka telah menyerang sasaran di tengah Iran, termasuk pusat arahan keselamatan dalam negeri dan tapak pelancaran peluru berpandu, dalam serangan pertama sejak republik Islam tersebut melantik pemimpin tertinggi baharu.
Sasaran tersebut termasuk sebuah kemudahan pengeluaran enjin roket dan beberapa tapak pelancaran peluru berpandu balistik jarak jauh yang dianggap mengancam Israel.
Ibu pejabat keselamatan dalam negeri di bandar tengah Isfahan, sebuah ibu pejabat polis dan kemudahan lain yang digunakan oleh Pasukan Pengawal Revolusi Republik Islam Iran dan pasukan separa tentera Basij turut diserang, menurut pihak tentera.
Kenyataan tersebut menambah bahawa serangan terbaharu itu adalah sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan kerosakan terhadap struktur teras dan asas rejim Iran.
Ini merupakan gelombang serangan pertama yang diumumkan Israel sejak Teheran menamakan Mojtaba Khamenei sebagai pemimpin baharunya untuk menggantikan bapanya, Ayatollah Ali Khamenei yang telah meninggal dunia dalam serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel pada 28 Februari lalu.
Ia berlaku selepas Iran melancarkan serangan baharu ke atas kemudahan tenaga di Teluk pada Isnin, termasuk sebuah kompleks petroleum di Bahrain, ketika harga minyak melonjak akibat kebimbangan gangguan bekalan berikutan perang di Asia Barat.
Kemudahan minyak Al Ma’ameer di Bahrain dilaporkan terjejas, menyebabkan kebakaran dan kerosakan, dengan syarikat tenaga milik kerajaan negara itu, Bapco, mengisytiharkan force majeure iaitu kejadian luar jangka atau luar kawalan yang menghalang satu-satu pihak daripada menunaikan kontrak atau kewajipan mereka.
Sebelum ini, pengeluar tenaga di Qatar dan Kuwait turut membuat pengisytiharan yang sama.
Pada Isnin, Bahrain turut melaporkan satu lagi serangan dron Iran ke atas Pulau Sitra sehingga mencederakan 32 orang.
Menurut kenyataan daripada kementerian kesihatan yang disiarkan oleh agensi berita negara itu, semua yang cedera adalah warganegara Bahrain dan terdapat empat kes teruk, termasuk kanak-kanak.
Antara yang cedera ialah seorang gadis berusia 17 tahun yang mengalami kecederaan teruk di kepala dan mata, serta seorang bayi berusia dua bulan, menurut kementerian.
Sementara itu, Presiden AS, Donald Trump, berkata pada Ahad bahawa tentera Amerika telah menenggelamkan semua kapal tentera laut Iran dan memusnahkan sebahagian besar platform pelancaran peluru berpandunya.
Dalam kenyataan kepada Fox News, Trump berkata operasi Amerika telah melemahkan keupayaan ketenteraan Iran dengan ketara.
“Kami telah menenggelamkan semua kapal Iran dan memusnahkan kebanyakan platform pelancaran peluru berpandu, dengan hanya kira-kira 20 peratus sahaja yang masih tinggal,” katanya. – AGENSI




