Lebih 10 tahun 'jatuh bangun'

Lebih 10 tahun 'jatuh bangun'

Kuala Lumpur: Lebih 10 tahun mengusahakan perniagaan sate dan berulang kali menempuh kegagalan, Nur Syahliza Syafrial tidak patah semangat.

Setiap kali tersungkur, beliau bingkas dan kembali ke petak asal menyusun langkah baharu dengan lebih yakin yang akhirnya membuahkan hasil

Kini berbangga dengan jenama Jijah Satay yang kian mendapat tempat di hati pelanggan, wanita berusia 36 tahun ini yakin dirinya sekarang di landasan tepat untuk terus mara, mencipta nama sebagai antara usahawan berjaya.

Berkongsi cerita dengan Bernama tentang pembabitannya dalam perniagaan sate pada 2015, usahawan itu berkata niat asalnya cuma mahu mencari duit belanja selepas berhenti kerja sebagai kerani di sebuah bank di Taman Melawati, Hulu Kelang ketika hamil anak sulung yang juga kembar dua.

“Sebenarnya saya mahu cari duit poket selain hendak membantu suami sebab sebelum itu pernah bekerja dan sudah terbiasa pegang duit sendiri. Pada masa itu saya belum buat sate cucuk dengan lidi tetapi buat sate ‘wrap’ (bungkus) yang dibalut dengan capati, menggunakan bahagian dada ayam yang dipotong dadu dan diperap dengan rempah sate.

“Selepas hidangan itu siap, saya muat naik ke laman Facebook dan tidak sangka ada permintaan. Dalam sehari saya terima tempahan hampir 30 bungkus,” katanya yang mengusahakan perniagaan tersebut dari rumah.

Beliau yang menggunakan rempah perapan sate dihasilkan oleh bapanya Syafrial Bahar yang juga penjual sate sebelum meninggal dunia pada 16 Feb 2023, ibu kepada lima cahaya mata ini menuruti trend pada waktu tersebut, iaitu hidangan ‘lunch box’ yang dihantar terus kepada pelanggan.

“Cuma pada masa itu ramai peniaga yang menjual nasi dan lauk-pauk, jadi saya pilih untuk berniaga sate ‘wrap’,” katanya.

Selepas setahun beroperasi dari rumah, terdetik di hati Syahliza untuk melangkah keluar dan berniaga secara terbuka. Beliau memilih satu lokasi di Sri Rampai, Setapak dan menjual sate lidi bermula dari 6 petang hingga 2 pagi. Di situ juga lahirnya jenama Jijah Satay buat kali pertama.

“Tetapi berniaga di Sri Rampai itu satu tahun sahaja kerana sambutan tidak menggalakkan. Bayangkan, sehari hanya dapat untung RM5 dan adakala RM30. Akhirnya saya buat keputusan cukuplah berniaga di sini selain kasihan dengan anak-anak yang terpaksa ikut saya dan suami balik lambat,” katanya.

Beliau tidak patah semangat dan kembali berniaga sate dari rumah dengan mencari idea lebih segar untuk penjualan satenya.

“Kali ini saya cari pembungkusan yang lebih menarik menggunakan kotak kek. Bagi membangkitkan aroma, sate saya susun beralaskan daun pisang,” katanya, menambah pelanggan pertamanya seorang penuntut universiti yang memuji kreativitinya.

“Selepas itu saya tidak menang tangan terima tempahan sate termasuk daripada hotel. Cabarannya ialah ketika itu saya bakar sate cuma guna kuali leper…memang tidak dapat menampung permintaan yang adakala mencecah 400 cucuk sehari.

“Jadi saya tumpang bakar sate di rumah ayah yang tinggal berdekatan. Kali ini saya guna kaedah tradisional, iaitu bakar dengan arang,” katanya, menambah perniagaannya mendapat sambutan kerana tidak ramai peniaga sate yang membuat perkhidmatan penghantaran terus kepada pelanggan.

“Biasanya orang hendak makan sate kena pergi beli di kedai,” ujarnya dan menjelaskan kebanyakan pelanggannya tidak tahu yang beliau hanya berniaga dari rumah.

Pada Disember lepas, Syahliza yang berhasrat menambah modal bagi memastikan kelangsungan perniagaan, menyertai Projek Bangkit, sebuah program realiti keusahawanan anjuran MAIWP dengan kerjasama stesen televisyen TV AlHijrah.

Program tersebut menyasarkan golongan asnaf di Wilayah Persekutuan untuk mengubah taraf hidup melalui perniagaan, menawarkan geran modal RM50,000 serta tajaan promosi RM1 juta selain bimbingan usahawan. Program yang berlangsung selama lapan minggu bermula Oktober 2025 itu menampilkan 21 peserta.

Syahliza berjaya meraih tempat ketiga dan menerima geran modal sebanyak RM15,000.

Bercadang mengembangkan jenama Jijah Satay menerusi pembukaan beberapa cawangan dalam tempoh beberapa tahun lagi, usahawan itu menitipkan nasihat kepada suri rumah yang berhajat mencari pendapatan sampingan agar tidak silu untuk mencuba serta tidak mudah berputus asa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top