nfazlina@nstp.com.my
Rantau Panjang: Lebih 100 ahli PKR di mukim Lubok Gong, di sini, mengumumkan keluar parti berkuatkuasa hari ini dengan menyertai UMNO.
Mereka menyifatkan, tindakan itu diambil kerana mendakwa sudah tidak sehaluan dengan Ketua Cabang Rantau Panjang, Nik Ghazali Nik Md Amin.
Bekas Ketua Rating PKR Mukim Lubok Gong, Ariffin Ismail, 63, berkata, mereka yang menyertai PKR sejak dua tahun itu kecewa apabila hubungan dan kerjasama di kalangan ahli dengan ketua cabang tidak sehaluan.
“Saya dan ahli yang lain seolah-olah tidak dihargai dan sepanjang tempoh dua tahun, saya bergerak sendirian dengan badan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu mangsa banjir dan menziarah kematian penduduk.
“Sepatutnya sebagai ketua cabang beliau perlu seiring turun padang namun sebaliknya yang berlaku hanya pimpinan UMNO yang berbuat demikian.
“Justeru kami membuat keputusan untuk keluar parti berkuatkuasa hari ini dan menyertai UMNO di bawah pimpinan Ketua Bahagian UMNO Rantau Panjang, Datuk Akbar Salim.
Beliau berkata, pemilihan untuk menyertai UMNO kerana mereka yakin parti itu lebih dekat dengan rakyat dan banyak membantu penduduk terutama ketika banjir.
“Untuk hari ini lebih 100 penduduk yang mengumumkan keluar parti dan saya yakin lebih ramai ahli PKR di mukim ini akan menyusul selepas ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




