am@hmetro.com.my
Padang Besar: Selepas lebih 100 hari bumi Perlis kering akibat cuaca panas dan kemarau, hujan rahmat akhirnya turun membasahi beberapa kawasan petang tadi.
Antara kawasan yang dilaporkan menerima taburan hujan adalah di sekitar Santuari Ikan Air Tawar Tasik Timah Tasoh, Beseri, Bukit Jernih, Batu Bertangkup, Belukar Lenga, Kubang Tiga, Bukit Chabang dan Semadong.
Hujan yang turun ini bagaikan jawapan kepada doa rakyat Perlis selepas penganjuran Solat Sunat Istisqa (solat minta hujan) yang diadakan pada 26 Mac lalu.
Solat sunat berkenaan turut diserikan dengan keberangkatan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bersama lebih 1,000 jemaah.
Terdahulu, media melaporkan cuaca panas melampau dan penyusutan air di Empangan Timah Tasoh menimbulkan kebimbangan ramai, terutamanya mengenai nasib ribuan ikan air tawar di kawasan sangkar santuari di empangan berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




