Lebih 100 pegawai JPV Terengganu digerakkan sepanjang Aidiladha

Lebih 100 pegawai JPV Terengganu digerakkan sepanjang Aidiladha

zatuliffah@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu mengerakkan lebih 100 pegawainya untuk membuat pemeriksaan sepanjang sambutan Aidiladha tahun ini.

Pengarahnya Dr Anun Man berkata, langkah itu diambil susulan terdapat kes hawar berdarah serta penyakit kuku dan mulut yang dikesan di negeri ini beberapa bulan yang lalu.

Menurutnya, pegawai berkenaan bertanggungjawab memantau tahap kebersihan dan keselamatan daging korban terutama di tempat yang membuat banyak penyembelihan sepanjang pelaksanaan ibadah korban pada 10 hingga 13 Zulhijjah ini.

“Sebagai persediaan korban, kita sediakan seramai 110 pemeriksa daging (dan) kita sebenarnya kalau nak periksa 6,000 ekor itu tidak berkemampuan dan hanya boleh periksa 30 peratus daripada jumlah ternakan itu.

“Namun, kita akan ‘centralized’ tempat sembelihan, contohnya kalau di masjid yang lebih 20 ekor, 40 ekor, kita akan sediakan pemeriksa daging untuk buat pemeriksaan sebab kita takut nanti ada penyakit-penyakit tertentu semasa ibadah korban,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Kempen Kesedaran Awam Penyakit Ruminan Berkepentingan Ekonomi dan Zoonotik Peringkat Negeri Terengganu di sini hari ini.

Terdahulu, kempen berkenaan dirasmikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Hilmi Harun.

Mengulas lanjut, Dr Anun berkata, pihaknya sudah membuka permit permohonan penyembelihan ternakan korban bermula 25 Mei lalu.

Katanya, pihaknya menjangka lebih 6,000 ekor haiwan akan terbabit dalam ibadah korban pada tahun ini yang meliputi semua ternakan ruminan.

“Kita juga akan mempertingkatkan kawalan di laluan sempadan negeri ini bagi mengekang penyeludupan masuk ternakan seperti kambing dan lembu terutamanya menjelang Hari Raya Aidiladha,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top