Lebih 1,000 bekas pemain ragbi saman badan induk kerana kecederaan otak

Lebih 1,000 bekas pemain ragbi saman badan induk kerana kecederaan otak

London: Lebih 1,000 bekas pemain ragbi kesatuan dan liga, termasuk pemain profesional dan amatur, menyertai tuntutan mahkamah berhubung isu gegaran otak terhadap badan induk sukan itu, kata firma guaman Rylands Garth.

Firma itu kini mewakili lebih 725 bekas pemain ragbi kesatuan dan lebih 280 bekas pemain ragbi liga dalam kes yang sudah berlarutan lebih empat tahun.

“Tuntutan ini membabitkan pemain yang mengalami pelbagai masalah neurologi yang mengubah hidup mereka, termasuk Penyakit Parkinson, Penyakit Neuron Motor (MND), Encephalopathy Traumatik Kronik (CTE) dan demensia,” kata kenyataan firma itu.

“Mereka mendakwa kecederaan ini berpunca daripada hentakan gegaran dan sub gegaran yang dialami sepanjang karier mereka.”

Tuntutan berkenaan turut membabitkan bekas pemain bola sepak yang menuntut pampasan daripada badan induk seperti Ragbi Dunia, Kesatuan Ragbi England (RFU), Kesatuan Ragbi Wales (WRU), Liga Ragbi (RFL) dan Persatuan Bolasepak England (FA) bagi kehilangan pendapatan, kos perubatan serta penjagaan kesihatan akibat kecederaan yang dialami.

Menurut Rylands Garth, bekas pemain mendakwa badan induk gagal mengambil tindakan sewajarnya bagi melindungi mereka daripada impak hentakan kepala, walaupun sudah mengetahui risiko yang wujud.

Selepas perbicaraan mahkamah pada Februari lalu, World Rugby, RFU dan WRU mengeluarkan kenyataan bersama: “Adalah penting untuk kes ini diselesaikan secepat mungkin demi kepentingan ragbi dan pemain yang terbabit. Kami akan terus berusaha bagi memastikan perkara itu berlaku.

“Kesejahteraan pemain sentiasa menjadi keutamaan kami. Walaupun kami tidak dapat berhubung secara langsung dengan pemain yang terbabit dalam tindakan undang-undang ini, kami mahu mereka tahu bahawa kami mendengar, kami prihatin dan kami tidak pernah berdiam diri dalam hal kebajikan pemain.”

Kes ini dijangka memasuki fasa seterusnya dengan perbicaraan pengurusan kes ragbi dijadualkan pada Julai, manakala sesi perbicaraan berkaitan bola sepak akan berlangsung pada Jun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top