Lebih 1,000 pesawah Langkawi tangguh tanam padi, kos diesel melonjak

Lebih 1,000 pesawah Langkawi tangguh tanam padi, kos diesel melonjak

am@hmetro.com.my

Langkawi: Seramai 1,098 pesawah di pulau ini, terpaksa menangguhkan penanaman padi yang dijadual bermula Mei depan, susulan kenaikan harga diesel yang melonjakkan kos membajak dan menuai.

Sawah di pulau ini meliputi kawasan seluas 1,500 hektar dengan penanaman dilakukan dua kali setahun iaitu pada Mei dan Ogos, bergantung kepada bekalan air hujan.

Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Langkawi, Hassim Saad, berkata kenaikan mendadak harga diesel kepada RM6.02 seliter memaksa pemilik jentera membajak dan menuai menaikkan upah lebih 30 peratus.

Katanya, sebelum ini kos membajak sawah seluas 0.3 hektar (serelong) adalah sekitar RM300, namun dengan kenaikan harga diesel, upah jentera dijangka meningkat kepada RM450 bagi keluasan sama.

“Proses membajak sawah memerlukan tiga peringkat iaitu bajak kasar, halus dan akhir, yang semuanya menggunakan jentera berkuasa diesel,” katanya pada sidang media di Pusat Pengumpulan Padi Kampung Bukit Hantu, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah.

Hassim berkata, kerajaan perlu campur tangan sebagai langkah jangka pendek dengan menyediakan subsidi diesel bersasar kepada pengusaha jentera pertanian bagi mengelakkan kenaikan kos upah yang membebankan pesawah.

“Jika tekanan harga diesel seperti sekarang berterusan hingga Mei ini, pesawah di Langkawi tiada pilihan selain menangguhkan penanaman padi musim pertama tahun ini,” katanya.

Pada majlis sama, Hassim turut menyerahkan memorandum mengenai kenaikan kos mengusahakan sawah susulan peningkatan harga diesel kepada Mohd Suhaimi untuk disampaikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top