am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sejumlah 10,815 kes perceraian pasangan Islam direkodkan di Selangor dalam tempoh Januari hingga September tahun ini, dengan faktor utama adalah isu kewangan dan masalah komunikasi.
Ketua Hakim Syarie Selangor, Datuk Mohammad Adib Husain, berkata daripada jumlah itu, 6,827 kes membabitkan pasangan yang melafazkan cerai di hadapan hakim di Mahkamah Syariah, manakala 3,445 lagi pengesahan lafaz cerai dibuat di luar mahkamah yang kemudian disahkan hakim.
Selebihnya membabitkan permohonan fasakh (470 kes), khuluk (26 kes) dan taklik (47 kes).
“Ada suami melihat isteri bekerja lalu mengambil mudah tanggungjawab memberi nafkah. Akhirnya timbul rasa tidak puas hati dan ketegangan dalam rumah tangga.
“Ada yang baru dua atau tiga tahun berkahwin sudah bercerai dan ada juga yang sudah hidup bersama lebih 30 tahun akhirnya berpisah. Namun, purata umur pasangan yang bercerai sekitar 40 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi lawatan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor (JAKESS) di Balai Berita, di sini, hari ini.
Dalam sesi lawatan itu, Mohammad Adib bersama pegawai-pegawai dari Mahkamah Syariah Selangor dibawa melawat ke studio berita dan ‘Command Centre’ Jabatan Berita dan Hal Ehwal Semasa (NCA) yang turut diiringi Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian (BH), M Thillinadan dan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit.
Mohammad Adib berkata, masalah komunikasi dan kekasaran dalam perhubungan turut menjadi penyumbang terutama apabila pasangan gagal berinteraksi secara sihat walaupun tinggal serumah.
“Ada pasangan duduk sebumbung tapi tidak bertegur sapa… suami di ruangan atas, isteri di bawah, tiada komunikasi,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihati pasangan tidak terburu-buru memfailkan perceraian, sebaliknya mendapatkan bantuan kaunselor bertauliah, pegawai agama atau imam di kawasan masing-masing bagi mencari jalan damai.
“Saya rasa itu penting, walaupun bukan satu kewajipan untuk mereka mendapatkan bantuan pihak lain sebelum ke mahkamah, sekurang-kurangnya dapatkan pandangan dan nasihat daripada mereka yang berilmu serta berpengalaman.
“Kadang-kadang isu rumah tangga boleh diselesaikan melalui perbincangan antara pasangan atau keluarga terlebih dahulu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




