PETALING JAYA: Lebih 100,000 pengunjung dijangka hadir memeriahkan program MySihat Expo 2026 yang akan diadakan di Dewan A, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang bermula 9 Oktober ini.
Memuatkan artikel berkaitan…
Ketua Pegawai Eksekutif Moonman Events, Boo Dickson dalam satu kenyataan berkata, program tersebut mendapat sokongan strategik Kementerian Kesihatan (KKM); Kementerian Belia dan Sukan (KBS); Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) serta Tourism Malaysia diadakan bagi menggalakkan gaya hidup sihat masyarakat di negara ini.
Katanya, pelbagai program berkaitan gaya hidup sihat dan kesihatan akan diadakan nanti dengan melibatkan agensi serta pihak tertentu.
“Selain itu program ini akan menempatkan kira-kira 200 reruai membabitkan hospital perubatan termasuk swasta, klinik dan rakan kecergasan seperti Decathlon, selain lebih 60 reruai serta 30 hingga 50 gerai makanan tempatan dan zon kanak-kanak di Anjung Malaysiaku Foodie Fiesta.
“Pengunjung berpeluang mendapatkan ujian saringan percuma dan konsultasi pakar daripada lebih 10 hospital swasta serta institusi kesihatan terkemuka termasuk Institut Jantung Negara (IJN), KPJ Healthcare, UMSC, Avisena Specialist Hospital, Assunta Hospital dan ALTY Orthopaedic Hospital,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Pengasas Raydiates Blue, Rayme Zainal Abidin berkata, Anjung Malaysiaku Foodie Fiesta melengkapkan ekspo berkenaan sebagai destinasi rekreasi keluarga menerusi pelbagai pilihan makanan tempatan dan zon permainan kanak-kanak.
Selain saringan kesihatan percuma dan aktiviti kecergasan seperti zumba, yoga serta larian santai, pengunjung FRAGMANIA yang menghimpunkan lebih 60 jenama wangian turut berpeluang memenangi sebuah kereta Mini Cooper menerusi cabutan bertuah dengan pembelian minima RM150 sepanjang tiga hari penganjuran.
Ekspo menggabungkan tiga komponen utama iaitu perubatan dan kesihatan MySihat Expo, pameran industri wangian FRAGMANIA serta festival kulinari dan gaya hidup Anjung Malaysiaku Foodie Fiesta.-UTUSAN




