Lebih 100,000 peminat lawat legasi tinggalan P Ramlee saban tahun

Lebih 100,000 peminat lawat legasi tinggalan P Ramlee saban tahun

am@hmetro.com.my

Georgetown: Rumah Kelahiran P Ramlee di Pulau Pinang dan Pustaka Peringatan P Ramlee di Kuala Lumpur terus setia menerima kunjungan orang ramai dengan lebih 100,000 peminat dari dalam dan luar negara direkodkan setiap tahun, kata Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia Zaidin Mohd Noor.

Beliau berkata, sambutan menggalakkan itu mencerminkan minat berterusan peminat seni tanah air dan antarabangsa terhadap figura unik berkenaan yang turut dianggap sebagai genius Malaya serba boleh dalam bidang lakonan, muzik dan pengarahan filem.

“Setakat ini, Arkib Negara menyimpan antara 20,000 hingga 30,000 bahan dan koleksi berkaitan Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Antaranya dokumen serta barangan peribadi termasuk yang pernah digunakannya semasa hayatnya.

“Peminatnya bukan sahaja dari Malaysia, malah dari Asia terutama dari Thailand, Indonesia dan Singapura,” katanya ditemui selepas Program Kayuhan Jejak Seniman: Rumah Kelahiran P Ramlee, di sini, hari ini.

Program disempurnakan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib yang mengayuh basikal sejauh 14 kilometer bermula dari kediaman rasmi beliau di Seri Mutiara, Jalan York menuju Rumah Kelahiran P Ramlee sebagai simbolik perasmian program itu, jam 8 pagi.

Zaidin berkata, rumah kayu tradisional kelahiran P Ramlee yang dibina oleh bapanya, Teuku Nyak Puteh Teuku Karim, dan bapa saudaranya, Rejab Husain pada 1926 kini mencapai usia satu abad dan diambil alih Arkib Negara Malaysia selepas menjalani proses baik pulih pada 1991.

“Secara keseluruhan, kos perolehan dan naik taraf rumah berkenaan mencecah kira-kira RM300,000. Ia bagi memastikan tapak bersejarah ini terus terpelihara dan relevan sebagai destinasi pelancongan,” katanya.

Zaidin berkata, rumah bersejarah itu yang masih mengekalkan bentuk asal dan mempamerkan koleksi warisan tidak sekadar dilihat sebagai monumen peringatan, malah dipromosikan secara komprehensif sebagai lokasi pelancongan warisan wajib kunjung di Pulau Pinang.

tamat

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top