mahaizura@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Seramai 144,589 ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memanfaatkan pengeluaran di bawah Program i-Lindung bagi pembelian insurans perlindungan hayat dan penyakit kritikal.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, kemudahan itu boleh dikeluarkan ahli KWSP menerusi Akaun Sejahtera sejak diperkenalkan pada 2022.
“Seramai 144,589 ahli memanfaatkan kemudahan pengeluaran simpanan daripada Akaun Sejahtera bagi membeli insurans perlindungan hayat dan penyakit kritikal di bawah Program i-Lindung.
“Jumlah pengeluaran di bawah inisiatif itu ialah RM44.2 juta sejak diperkenalkan pada Julai 2022 sehingga September 2024.
“Bermula Februari 2024 pula, KWSP menambah baik i-Lindung Fasa 2 di bawah Pelan Perlindungan Ahli di mana ahli boleh menggunakan simpanan dalam Akaun Sejahtera untuk membeli produk insurans konvensional dan takaful untuk perlindungan hayat dan insurans penyakit kritikal untuk ahli keluarga terdekat mereka,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Chiew Choon Man (PH-Miri) sama ada KWSP boleh memperkasakan program i-Lindung melalui subsidi dan rundingan bersama syarikat insurans agar perlindungan perubatan dapat ditawarkan sehingga umur 99 tahun pada kadar berpatutan.
Mengulas lanjut, Lim berkata, kerajaan menyambut baik usaha itu, namun tidak mengenepikan tujuan utama KWSP ditubuhkan untuk menyediakan tabung simpanan persaraan yang dapat memastikan kesejahteraan kewangan kepada rakyat Malaysia selepas mereka bersara.
“Berhubung cadangan Yang Berhormat (YB) supaya program i-Lindung diperkasa dan ditambah baik melalui pemberian subsidi dan rundingan bersama syarikat insurans agar perlindungan perubatan dapat ditawarkan sehingga umur 99 tahun, pihak kerajaan menyambut baik cadangan itu.
“Kerajaan sentiasa komited untuk terus menambahbaik program i-Lindung bersama-sama syarikat insurans dan pengendali takaful agar dapat menawarkan pelan perlindungan perubatan yang lebih baik kepada ahli KWSP dengan kadar premium berpatutan di masa akan datang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd