Lebih 1,600 projek aktif seluruh negara babit kos RM72.61 bilion

Lebih 1,600 projek aktif seluruh negara babit kos RM72.61 bilion

am@hmetro.com.my

Kuala Krai: Sebanyak 1,687 projek aktif di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) dilaksanakan tahun ini membabitkan kos RM72.61 bilion.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kesemua projek berkenaan meliputi infrastruktur jalan raya, jambatan serta bangunan seperti sekolah daif.

Bagaimanapun katanya sehingga bulan lalu, sebanyak 87 projek sudah disiapkan membabitkan 34 projek infrastruktur seperti jalan raya dan jambatan, manakala 42 binaan bangunan dan 11 projek lain.

“Kerajaan sentiasa komited untuk menyiapkan semua projek yang dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat,” katanya dalam sidang media selepas melakukan tinjauan projek penggantian Jambatan Sungai Durian di Jalan Persekutuan FT008, di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, di Kelantan terdapat sebanyak 88 projek dalam pembinaan membabitkan kos berjumlah RM7.9 bilion.

“Daripada jumlah itu, ia termasuklah 38 projek bangunan, jambatan sebanyak 12 projek, manakala jalan pula membabitkan 37 projek, namun hanya kini hanya satu sahaja projek jalan yang sudah siap dilaksanakan

“Kebanyakan projek ini dijangka siap mengikut jadual, namun bagi projek yang mempunyai sedikit masalah, pihak kami sentiasa membuat pemantauan dengan rapi.

“Tempoh pembinaan sesebuah projek dianggarkan di antara 24 hingga 36 bulan bergantung kepada jenis projek yang dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, projek penggantian Jambatan Sungai Durian adalah bertujuan bagi mengatasi masalah lalu lintas di laluan utama daripada Kota Bharu ke Kuala Lumpur disebabkan ia sempit serta uzur.

“Pada masa sama, ia juga bagi mengatasi masalah jalan terputus yang sering berlaku di jambatan sedia ada yang rendah semasa musim banjir.

“Projek ini dimulakan pada Jun 2021 dan sudah diberikan Lanjutan Masa (Extension of Time, EOT) sebanyak tiga kali.

“Setakat ini kemajuan fizikal projek ini sehingga 15 Julai m adalah sebanyak 39 peratus dengan kos kontrak semasa bernilai RM16 juta dan dijangka siap Julai tahun depan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top