Lebih 160,000 kenderaan sehari dijangka lalui WCE sepanjang cuti Deepavali

Lebih 160,000 kenderaan sehari dijangka lalui WCE sepanjang cuti Deepavali

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Lebih 160,000 kenderaan sehari dijangka menggunakan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) menjelang sambutan perayaan Deepavali pada 8 November ini.

West Coast Expressway Sdn Bhd memaklumkan pihaknya membuat persiapan bagi menghadapi peningkatan aliran trafik berikutan pergerakan orang ramai pulang ke kampung halaman dan destinasi percutian.

“WCE turut menyambut baik pengumuman kerajaan berhubung pemberian diskaun tol sebanyak 50 peratus kepada kenderaan Kelas 1 yang layak pada 6 dan 7 November ini sebagai usaha membantu meringankan perbelanjaan perjalanan pengguna lebuh raya.

“Kami juga memberi tumpuan kepada pengurusan trafik lebih teratur serta memastikan bantuan kepada pengguna lebuh raya dapat disalurkan dengan segera sepanjang tempoh cuti perayaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebagai sebahagian daripada persiapan itu, katanya, kerja pembinaan dan penyelenggaraan membabitkan penutupan lorong akan ditangguhkan sementara bermulaesok hingga 10 November ini kecuali bagi kerja pembaikan segera atau kecemasan yang memerlukan tindakan serta-merta.

“Pasukan peronda lebuh raya dan Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) akan berada dalam keadaan siap siaga sepanjang masa dengan sokongan trak tunda ditempatkan di lokasi strategik bagi mempercepatkan bantuan.

“Pemantauan dan penyelarasan tindakan secara berterusan turut diberi keutamaan bagi mengurangkan risiko kesesakan serta memastikan kelancaran pergerakan kenderaan di sepanjang lebuh raya,” katanya.

Selain kesiapsiagaan operasi, WCE turut menggalakkan pengguna memanfaatkan kemudahan digital yang disediakan bagi membantu perancangan perjalanan.

Melalui aplikasi mudah alih WCE App, katanya, pengguna boleh mendapatkan maklumat trafik masa nyata, paparan kamera litar tertutup (CCTV), panduan laluan serta maklumat kemudahan lebuh raya selain stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV), tempat berteduh motosikal dan telefon kecemasan.

“Bagi pengguna yang melakukan perjalanan jarak jauh, enam kawasan rehat dan rawat (R&R) di sepanjang WCE menyediakan kemudahan asas seperti ruang parkir, surau dan tandas.

“Kemudahan gerai makanan turut tersedia di lokasi terpilih termasuk R&R Sungai Nyior (arah utara dan selatan) serta R&R Bukit Kapar (arah utara).

“Selain itu, hentian sebelah di plaza-plaza tol turut menyediakan ruang persinggahan bagi membolehkan pengguna berehat sebelum meneruskan perjalanan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top