'Lebih 20 kali hubungi arwah, akhirnya dimaklum tidak bernyawa'

'Lebih 20 kali hubungi arwah, akhirnya dimaklum tidak bernyawa'

am@hmetro.com.my

Melaka: “Lebih 20 kali saya hubungi (telefon) arwah (tapi) tidak berjawab. Akhirnya dimaklumkan dia sudah tidak bernyawa,” kata Khadijah Abu Bakar, 37.

Khadijah adalah anak saudara kepada wanita berusia 57 tahun yang ditemui meninggal dunia dalam kereta di Paya Rumput, di sini hari ini bersama anak perempuan berusia 25 tahun.

Menurutnya, sudah menjadi rutin harian ibu saudaranya itu untuk singgah ke rumahnya sejurus selepas bekerja di kedai makan di Cheng.

“Hampir setiap hari, dia bersama anak perempuannya akan datang ke rumah saya sekitar 7 malam untuk berehat, sebelum pulang ke kediaman mereka di Taman Kelemak Jaya, Alor Gajah kira-kira 10 malam.

“Namun malam tadi, kami menunggu untuk makan bersama tetapi mereka tidak juga sampai membuatkan kami pelik dan menghubungi telefon bimbit sebanyak 20 kali, namun tidak berjawab.

“Sehinggalah pada 11 malam, abang saya telefon beritahu penemuan dua beranak itu dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam Proton Exora yang diparkir di tepi jalan, kira-kira 50 meter dari rumah saya,” katanya ketika ditemui di Hospital Melaka, hari ini.

Khadijah berkata, dia bergegas ke lokasi dan mendapati anak lelaki kepada arwah ibu saudaranya cuba memberi bantuan pernafasan tetapi tidak berjaya.

“Semasa kami cuba bantu arwah, memang bau gas kuat sangat dalam kereta itu dan brek tangan dalam keadaan ditarik. Ada orang kampung kata mereka nampak kereta arwah diparkir di situ sejak 9 malam lagi,” katanya.

Khadijah berkata, dia sangat sedih dengan kehilangan itu apatah lagi, dua beranak terbabit sangat rapat dan mesra dengannya.

Terdahulu, polis mengklasifikasikan kematian dua beranak itu sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Dua mangsa ditemui berbaring di tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan kenderaan dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai lemas akibat gas bocor.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top