nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kira-kira 200 individu menyertai perarakan Himpunan Mega Solidariti Palestin Setahun Genosid Gaza di Jalan Tun Razak, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Asisten Komisioner Mohammad Lazim Ismail berkata, perarakan itu bermula dari surau Menara Tabung Haji (TH) menuju ke Bangunan Icon, Jalan Tun Razak.
“Himpunan yang bermula jam 2 petang itu berjalan secara aman tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
“Seramai 298 anggota dan pegawai ditugaskan mengawal keselamatan sepanjang himpunan itu yang diadakan selepas solat Jumaat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, kira-kira 200 peserta termasuk daripada badan bukan kerajaan (NGO) terbabit dalam himpunan itu dengan perarakan bermula dari Menara TH menuju ke Kedutaan Amerika Syarikat (AS).
Ia bagi menyerahkan memorandum bantahan terhadap kuasa besar itu yang terus menjadi pembekal dan penyumbang senjata utama kepada Israel untuk menyerang Palestin.
Selain itu, ia juga bagi menggesa penutupan Kedutaan AS di Malaysia sekiranya tiada ketegasan daripada pihak negara itu dalam meredakan konflik di Timur Tengah yang kini sedang merebak ke Lubnan.
Serahan memorandum kepada Kedutaan AS itu diketuai oleh Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid atau Cikgu Azmi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




