sel-keldai-o
Lebih 2,000 asnaf Selangor diperalat jadi keldai akaun
Oleh Norzamira Che Noh
am@hmetro.com.my
Foto Faiz Anuar
Klang: Lebih 2,000 asnaf di Selangor didapati diperalat dan dijadikan keldai akaun oleh sindiket penipuan atau ‘scammer’.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor), Mohd Khaidzir Shahari berkata, perkara itu disedari pihaknya apabila penyaluran bantuan kepada asnaf gagal dan dimaklumkan pihak bank bahawa akaun berkenaan disenarai hitam.
Katanya, sindiket penipuan mungkin tidak tahu mangsa adalah asnaf, cuma mereka ini lebih mudah dimanipulasi berikutan kesempitan wang.
“Jadi apabila orang tawarkan dengan meminta kad pengenalan dan mangsa tidak perlu buat apa tetapi tiap-tiap bulan dapat RM100 sedangkan mereka tidak tahu sudah dijadikan keldai akaun.
“Akhirnya apabila kita hantar wang bantuan (bulanan), dapat notifikasi pihak bank bahawa bayaran tidak lulus dan apabila ditanya kepada bank didapati akaun telah disenarai hitam sebab ada kes.
“Apabila dilihat kes-kes itu didapati ramai asnaf dijadikan keldai akaun), mereka mungkin beranggapan ini satu peluang buat duit,” katanya pada sidang media Program Simbolik Agihan Bantuan Agihan Ramadan dan Syawal 2026 Lembaga Zakat Selangor di sini, hari ini.
Turut hadir adalah Timbalan Mufti Selangor, Datuk Dr Miszairi Sitiris.
Mohd Khaidzir berkata, apabila akaun seseorang asnaf itu disenarai hitam, Zakat Selangor perlu memikirkan cara lain untuk salurkan bantuan kerana mereka masih lagi asnaf dan menjadi tanggungjawab agensi berkenaan.
Katanya, antara kaedah penyaluran bantuan yang digunakan adalah menggunakan e-dompet (e-wallet) kerana mereka yang sudah disenarai hitam tidak boleh membuka akaun bank.
“Kita tidak mampu untuk hantar wang tunai ke rumah asnaf justeru, e-dompet ini kita gunakan. Bagaimanapun ia bukan untuk semua penerima tetapi sebilangan sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Khaidzir juga kecewa dengan isu negatif di media sosial yang kemudiannya dikaitkan pembayaran zakat.
“Saya tidak boleh terima apabila ada netizen cakap jangan bayar zakat di Selangor, dia (negeri) sudah kaya yang mana tindakan mereka (tidak membayar zakat) akan menjejaskan kawan-kawan kita (asnaf),” katanya.
Tamat
© New Straits Times Press (M) Bhd




