Kuala Langat: Lebih 2,000 atlet dari 30 negara menakluki lumpur, api dan pelbagai halangan dalam Spartan Race Malaysia 2025 Kuala Lumpur Trifecta Weekend di Gamuda Cove, hujung minggu lalu, sekali gus menandakan era baharu penganjuran di bawah kerjasama RUNRIO Thailand dan SCORE Sports Management.
Acara dua hari itu menjadi simbol penyatuan semangat baharu Spartan Malaysia dengan gabungan kepakaran kedua-dua penganjur dalam memastikan operasi perlumbaan bertaraf dunia sambil mengekalkan nilai utama Spartan, ketahanan, semangat berpasukan dan keazaman.
Acara kali ini turut menampilkan kategori Sprint (5km), Kids Race (1–3km) dan Hurricane Heat 4HR, dengan lebih 400 atlet berjaya menamatkan Trifecta Medal Challenge.
Acara turut diserikan dengan kehadiran Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil, yang terus mencetus inspirasi apabila berjaya menamatkan perlumbaan pada usia 55 tahun, seperti yang dilakukannya sejak 2017.
Tuanku Lailatul, yang juga seorang pencinta kecergasan dan peserta tegar Spartan, sekali lagi menunjukkan semangat luar biasa serta disiplin tinggi, menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan usia.
Ketua Pegawai Eksekutif SCORE Sports Management, Patricia Tan, berkata kejayaan penganjuran kali ini membuktikan minat rakyat Malaysia terhadap sukan lasak semakin berkembang.
“Kita menerima sambutan luar biasa termasuk penyertaan sekitar 500 peserta dalam Spartan Kids Race. Dengan kehadiran keseluruhan hampir 7,500 orang sepanjang hujung minggu, ia menunjukkan Spartan kini menjadi acara keluarga yang turut menyumbang kepada pelancongan sukan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif RUNRIO Thailand, Boonperm Intanapasat, berkata kerjasama tiga tahun itu akan menjadikan Malaysia sebagai hab utama Spartan di Asia Tenggara.
“Matlamat kami adalah menjadikan Spartan Malaysia sebagai acara bertaraf antarabangsa yang memperkukuh pelancongan sukan serta ekonomi serantau,” katanya.
Beliau menambah, usaha itu dijangka memberi impak besar terhadap ekonomi, dengan potensi menjana puluhan juta ringgit dalam hasil pelancongan dan perniagaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




