Lebih 20,000 pesakit Gaza menanti peluang dapatkan rawatan, Israel kawal ketat pintu sempadan Rafah

Lebih 20,000 pesakit Gaza menanti peluang dapatkan rawatan, Israel kawal ketat pintu sempadan Rafah

Bandar Gaza: Lebih 20,000 penduduk Palestin yang sakit dan cedera di Semenanjung Gaza kini menanti peluang untuk mendapatkan rawatan di luar negara. Situasi ini berlaku ketika Israel terus mengawal ketat pintu sempadan Rafah yang menghubungkan wilayah itu dengan Mesir.

Kementerian Kesihatan Gaza dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan, pihak mereka memantau rapi operasi sempadan yang masih terhad dan sukar itu ketika tahap kesihatan awam di Gaza semakin meruncing. Walaupun Israel membuka semula bahagian Palestin di sempadan Rafah pada 2 Februari lalu, kawalan ketat tetap dikenakan sejak mula mendudukinya pada Mei 2024.

Senarai perjalanan kini merekodkan lebih 20,000 pesakit, termasuk mereka yang menghidap kanser tahap kritikal, masalah jantung dan kegagalan buah pinggang. Kebanyakan mangsa yang cedera memerlukan pembedahan pakar yang tidak dapat dilakukan di dalam Gaza kesan sekatan berpanjangan serta serangan berulang ke atas sistem kesihatan.

Kementerian itu menjelaskan, jumlah individu yang dibenarkan melintas tidak sepadan dengan skala bencana kesihatan yang sedang melanda. Selain itu, terdapat laporan saksi mengenai layanan buruk rejim Israel ke atas pesakit yang berjaya keluar, termasuk sekatan yang tidak munasabah sehingga menambah penderitaan fizikal dan mental mereka.

Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan laporan penduduk yang mendakwa mereka digari, ditutup mata dan harta benda dirampas oleh tentera Israel di pos pemeriksaan. Pertubuhan hak asasi manusia, Adalah dan Gisha, menyifatkan tindakan itu sebagai dasar penderaan dan sekatan menyalahi undang-undang yang membawa kepada “pemindahan paksa”.

Kementerian Kesihatan Gaza menegaskan bahawa kelewatan proses pemindahan perubatan ini mengancam nyawa ribuan manusia. Badan antarabangsa digesa bertindak segera bagi memastikan pintu sempadan dibuka secara tetap dan menyeluruh mengikut undang-undang antarabangsa.

Data rasmi menunjukkan 80,000 penduduk Palestin telah mendaftar untuk pulang ke Gaza, membuktikan keengganan mereka untuk diusir dari tanah air sendiri walaupun kemusnahan besar telah berlaku. PBB menganggarkan kos pembinaan semula Gaza mencecah AS$70 bilion selepas perang yang mengorbankan lebih 72,000 nyawa itu berakhir.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top