bhnews@bh.com.my
KANGAR: Lebih 3,000 orang atau 16.57 peratus tidak hadir menerima suntikan vaksin COVID-19 di Perlis.
Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Azman Mohd Yusof, berkata sehingga semalam seramai 74,910 orang mendaftar untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 di negeri itu.
“Sehingga semalam juga, seramai 25,326 individu sudah pun menerima suntikan vaksin COVID-19 bagi dos pertama, manakala 18,004 orang pula sudah melengkapkan dos kedua.
“Bagi yang tidak hadir pula adalah dianggarkan seramai 3,000 orang atau sekitar 16.57 peratus termasuk 0.99 peratus adalah petugas barisan hadapan yang sepatutnya menerima vaksin berkenaan pada Fasa 1 bermula 26 Februari lalu,” katanya ketika dihubungi BH hari ini.
Katanya, antara alasan yang diberikan adalah seperti penetapan tarikh janji temu yang tidak sesuai dan tiada pengiring atau orang yang dapat membawa mereka ke Pusat Pemberian Vaksin.
“Selain itu juga, alasan yang sering diberikan kepada mereka yang tidak hadir untuk pengambilan vaksin ini termasuklah tidak sihat, sedang menjalani kuarantin kendiri di rumah, enggan menerima vaksin dari jenis Sinovac, sudah berpindah dan memilih tarikh menerima vaksin bersama pasangan.
“Namun begitu, kita melalui Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis sentiasa memberi kemudahan kepada mereka untuk melakukan penjadualan semula temu janji melalui pemberitahuan tarikh baharu di MySejahtera secara automatik,” katanya.
Beliau berkata , selain itu peringatan untuk hadir melalui SMS dan panggilan telefon melalui nombor perhubungan yang diberikan ketika pendaftaran juga akan dilakukan bagi memastikan vaksin masih dapat diberikan meskipun mereka tidak hadir pada kali pertama.
Tiga lokasi di Perlis dijadikan sebagai PPV iaitu di Dewan 2020 dan Dewan Warisan di Kangar dan Dewan Sri Melati, Beseri.
© New Straits Times Press (M) Bhd




