Lebih 350 syarikat berhimpun Di HOMEDEC KL 2026, tawar diskaun menarik

Lebih 350 syarikat berhimpun Di HOMEDEC KL 2026, tawar diskaun menarik

Kuala Lumpur : Pameran hiasan dalaman dan kelengkapan kediaman terbesar di Malaysia, HOMEDEC KL 2026 kembali mengumpulkan lebih 350 syarikat bagi menawarkan pelbagai inspirasi reka bentuk, khidmat nasihat pakar serta pakej pengubahsuaian rumah di bawah satu bumbung.

Acara yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sehingga Ahad ini, bertemakan “Jom Renovate!” itu menampilkan lebih 1,100 reruai merangkumi lapan dewan pameran.

Presiden C.I.S Network Sdn Bhd, Datuk Vincent Lim berkata, pameran edisi kali ini memberi tumpuan lebih besar kepada pendidikan pemilikan rumah dan akses kepada kepakaran profesional bagi membantu masyarakat membuat keputusan pengubahsuaian yang tepat.

“HOMEDEC KL 2026 turut menampilkan aktiviti seperti HOMEDEC Showhomes yang merangkumi ruang INTERVAL dan OASIS, selain Architects’ Pavilion bagi memberikan inspirasi serta panduan praktikal kepada pengunjung.

“INTERVAL yang dihasilkan oleh firma Matthew Lim Associates (MLA) mengetengahkan konsep hiasan gabungan ruang, cahaya, bahan dan bunyi, manakala OASIS pula memberi tumpuan kepada penataan ruang luar kediaman,” katanya.

Mengulas lanjut, Lim memberitahu pengunjung juga berpeluang mendapatkan nasihat percuma daripada arkitek bertauliah di Architects’ Pavilion, mengikuti sesi perkongsian feng shui bersama Master Suyen, serta meneroka teknologi rumah pintar di Samsung Smart Home Experience Centre.

Bagi menyemarakkan sambutan, pelbagai penawaran penjimatan disediakan menerusi HOMEDEC Savers yang menawarkan diskaun sehingga 80 peratus bagi barangan perabot dan keperluan pengubahsuaian.

Selain itu, kempen SHOP BIG WIN BIG turut dianjurkan dengan tawaran hadiah bernilai lebih RM600,000 merangkumi pakej percutian ke Korea, pelayaran Disney Cruise dan barangan elektrik Samsung bagi perbelanjaan minimum RM200 dalam satu resit.

Sejak ditubuhkan pada 2003, pameran HOMEDEC telah membantu lebih empat juta pemilik rumah serta menarik penyertaan kira-kira 20,000 pempamer industri.

Orang ramai digalakkan membuat prapendaftaran di laman web rasmi bagi mengelakkan kesesakan di tapak pameran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top