syazrina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) berjaya menutup 3,634 tapak sampah haram sepenuhnya di tujuh negeri menerusi Program Sentuhan Kejayaan KPKT: Operasi Pembasmian dan Penutupan Tapak Sampah Haram 2025.
Tujuh negeri berkenaan ialah Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perlis, Pahang dan Kedah.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, program berkenaan mencerminkan usaha tuntas kerajaan dalam mengangkat martabat kebersihan negara melalui sistem penguatkuasaan yang lebih terancang, moden dan berkesan.
“Saya ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada SWCorp atas komitmen tinggi dalam melaksanakan operasi penguatkuasaan, tindakan pemulihan dan pembaharuan strategik sepanjang tahun ini.
“Pencapaian ini adalah bukti nyata kesungguhan Kerajaan Madani menerusi KPKT dan SWCorp dalam menangani isu pembuangan sampah haram secara agresif, konsisten serta berimpak tinggi,” katanya di program berkenaan di Jalan Awan Cina, Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Program yang disempurnakan Nga itu turut dihadiri Pengerusi SWCorp, Hee Loy Sian dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khalid Mohamed.
Dalam pada itu, Nga berkata, pelaksanaan strategi baharu melalui Ops Pemutihan Pelesenan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) akan mengukuhkan tadbir urus sisa pepejal dengan memperketat proses pelesenan bagi menangani punca aktiviti pembuangan sisa haram.
“Saya percaya inisiatif ini akan memperkukuh pematuhan undang-undang dan mewujudkan pengurusan sisa pepejal yang lebih mampan serta berkesan.
“Justeru, bagi tahun ini, KPKT dan SWCorp memperkenalkan hala tuju penguatkuasaan yang lebih menyeluruh, terancang serta bersifat pencegahan,” katanya.
Menurut beliau, selain menutup 3,634 tapak sampah haram sepenuhnya di tujuh buah negeri, SWCorp turut berjaya membersihkan 1,530 tan sisa pepejal dengan kos pembersihan yang ditanggung sebanyak RM406,500.
Katanya, daripada aspek penguatkuasaan pula, sebanyak 22 kes pembuangan haram dibawa ke mahkamah berserta denda berjumlah RM385,000 dikenakan hasil daripada 4,268 operasi risikan yang dijalankan.
“Bukan itu sahaja, sejak 2015 hingga Oktober 2025, SWCorp melaksanakan 185 sitaan kenderaan yang terbabit dalam aktiviti pembuangan sampah haram termasuk 23 kenderaan pada 2025.
“SWCorp turut meningkatkan keberkesanan pemantauan melalui pemasangan 47 unit kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi panas yang mengesan lapan kes pembuangan haram untuk tindakan lanjut.
“Oleh itu, saya ingin merakamkan penghargaan kepada SWCorp, syarikat konsesi, agensi penguatkuasaan dan rakan industri atas peranan membanteras 3,634 tapak sampah haram serta menjayakan pembaharuan dalam pengurusan sisa pepejal negara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




