Kuala Lumpur: Sebanyak 36,141 warganegara berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 28 Feb lepas didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu di bawah Daftar Pemilih Tambahan Bulan Februari Tahun 2026 (DPT BLN2/2026).
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, DPT BLN2/2026 yang diperakukan pada 17 Mac dan diwartakan hari ini turut mengandungi 14,129 pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya serta 2,322 pemilih bertukar kategori pengundi atau status.
“DPT BLN2/2026 ini dibuka untuk semakan selama 30 hari mulai 18 Mac hingga 16 April ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, SPR menyeru warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh berkenaan serta mana-mana pemilih berdaftar yang memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau kategori pengundi atau status supaya menyemak nama mereka dalam daftar tersebut.
Menurut beliau, sekiranya nama tidak disenaraikan dalam DPT BLN2/2026, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri berkenaan.
Katanya, pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang berhasrat membuat bantahan terhadap kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya boleh mengisi Borang D melalui aplikasi sama atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri berkenaan.
“Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun dari portal pejabat-pejabat Pilihan Raya Negeri melalui pautan http://ppn.spr.gov.my dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan bersama fi bantahan sepanjang tempoh semakan,” katanya.
SPR turut menyediakan lima kaedah semakan DPT BLN2/2026, iaitu melalui portal rasmi SPR https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my, portal pejabat-pejabat Pilihan Raya Negeri http://ppn.spr.gov.my, aplikasi dalam talian https://myspr.spr.gov.my, aplikasi mudah alih MySPR Semak serta talian hotline 03-8892 7218.
© New Straits Times Press (M) Bhd




