Lebih 400 warga Besut teruja dibawa bersiar naik helikopter

Lebih 400 warga Besut teruja dibawa bersiar naik helikopter

KUALA LUMPUR – Usahawan hartanah, Mohamad Azlan Al Amin membawa lebih 400 penduduk kampung di daerah Besut, Terengganu menaiki helikopter secara percuma semalam.

Disebabkan terpancar wajah kegembiraan, beliau melanjutkan sehari lagi tawaran itu bagi membolehkan lebih ramai warga Besut menikmati keindahan daerah itu dari udara.

Mohamad Azlan berkata, ini bukan kali pertama beliau membawa penduduk kampung bersiar dengan helikopter berwarna merah yang boleh memuatkan tujuh penumpang  itu.

“Saya bukan berasal dari keluarga berada. Dulu masa kita tengok kapal terbang atau helikopter seperti ini, sememangnya terdetik apakah kita berpeluang untuk menaikinya satu hari nanti. Tapi kini bila saya sudah memiliki rezeki seperti ini, tidak salah rasanya untuk kita berkongsi.

“Semua teruja, masing-masing begitu gembira seolah-olah derita, kesedihan dan segala macam keperitan yang sedang ditanggung oleh mereka hilang sebentar, mereka lebih peduli naik helikopter bersama keluarga mahupun kenalan dan kawan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menurut Mohamad Azlan yang pernah mengutip sampah, apa yang dilakukan itu merupakan sumbangan kecil kepada penduduk setempat yang banyak berjasa kepada beliau.

Jutawan hartanah, Mohamad Azlan Al Amin taja lebih 400 penduduk setempat daerah Besut naik helikopter secara percuma.

Kata anak kelahiran Kampung Tok Raja, Besut, beliau bukan menunjuk-nunjuk kekayaan yang dimiliki, sebaliknya mahu ia  dijadikan inspirasi dan teladan kepada yang lain untuk berjaya dalam hidup.

“Ingin saya kongsikan, keluarga saya 20 tahun dahulu adalah antara orang paling miskin di Besut. Jadi apabila saya ada kemampuan, saya terfikir untuk menghadiahkan sesuatu kepada penduduk kampung terutama anak muda dalam bentuk inspirasi dan motivasi.

“Memandangkan helikopter adalah kenderaan yang lazim digunakan untuk urusan kerja dan peribadi, jadi saya kongsikan pengalaman ini dengan masyarakat. Tidak sangka ada yang menangis kegembiraan dengan peluang diberikan sekali gus membuatkan hati saya bahagia apabila melihat mereka bahagia,” ujarnya. – Malaysia

Jutawan hartanah, Mohamad Azlan Al Amin taja lebih 400 penduduk setempat daerah Besut naik helikopter secara percuma.