Lebih 400,000 individu dapat dua dos vaksin

Lebih 400,000 individu dapat dua dos vaksin

mohd_iskandar@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Seramai 409,784 individu sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin dalam fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), setakat semalam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata bagi dos pertama pula, seramai 609,153 individu sudah menerima suntikan imunisasi terbabit dalam tempoh sama.

Katanya, ini menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua vaksin COVID-19 seramai 1,018,937 individu.

“Jumlah pendaftaran bagi mendapatkan vaksin COVID-19 setakat 12 April 2021 seramai 8,602,156 orang.

“Daftar segera di aplikasi MySejahtera atau laman web vaksincovid.gov.my atau hubungi talian 1800 88 8828,” katanya menerusi ciapan di akaun Twitter rasminya hari ini.

Dalam ciapan sama, Dr Adham turut memuat naik infografik laporan harian pemberian dos vaksin mengikut negeri.

Berdasarkan infografik itu, Selangor muncul negeri tertinggi menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 dengan 80,195 diikuti Sarawak (63,539), Kuala Lumpur (57,152), Johor (56,663) dan Sabah (54,309).

Selangor sekali lagi menjadi negeri tertinggi yang melengkapkan dua dos suntikan vaksin setakat ini dengan seramai 54,820 individu sudah menerimanya.

Ia diikuti Perak (46,592), Sabah (41,948), Kuala Lumpur (34,683) dan Pahang (32,688).

Imunisasi kebangsaan bermula pada 24 Februari lalu dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama menerima vaksin COVID-19, empat hari selepas bekalan vaksin pertama negara keluaran Pfizer-BioNTech tiba.

Malaysia kini berada dalam fasa pertama program vaksinisasi, yang menyasar memberi vaksin kepada 500,000 petugas barisan hadapan antara hujung Februari hingga April.

Fasa 2 imunisasi yang bakal membabitkan vaksin Pfizer-BioNTech dan Sinovac dijadualkan bermula Isnin depan hingga Ogos untuk kira-kira 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas dan golongan berisiko tinggi.

Fasa 3 pula akan bermula pada Mei hingga Februari tahun depan dan disasarkan untuk sekitar 13.7 juta penduduk di Malaysia berusia 18 tahun ke atas sama ada rakyat tempatan atau warga asing.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top