khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seramai 417,158 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang dikategorikan sebagai culas masih lagi tidak membuat bayaran balik hutang mereka.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 0.7 peratus disenarai hitam untuk keluar negara kerana gagal menjelaskan tunggakan PTPTN mereka.
Menurutnya, hanya peminjam berpendapatan tinggi, culas dan menepati beberapa kriteria tertentu yang akan dikenakan sekatan perjalanan di bawah inisiatif itu.
“(Sekatan perjalanan) bukan kepada peminjam yang baru menamatkan pengajian atau belum mempunyai pendapatan.
“Kerajaan sentiasa prihatin mengenai beban hutang serta kesukaran graduan dalam membuat bayaran balik pinjaman mereka sekiranya tidak berkemampuan,” katanya semasa pertanyaan bagi jawab lisan, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) mengenai jumlah hutang PTPTN membabitkan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) dan adakah kerajaan bersedia menghapuskan hutang PTPTN seperti yang pernah dijanjikan dahulu.
Mengulas lanjut, Adam Adli berkata, setakat hari ini, sebanyak RM77.5 bilion pinjaman PTPTN telah dikeluarkan bagi membantu lebih 4.26 juta pelajar IPT di negara ini.
Beliau berkata, kerajaan juga memulakan pendidikan percuma kepada golongan yang memerlukan membabitkan 13,000 pelajar.
Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu dalam masa sama turut berpandangan bahawa semua blok politik di dalam Dewan Rakyat mahu menyediakan pendidikan percuma untuk rakyat negara ini.
“Soalnya bukan semata-mata menguruskan hutang dan menghapuskan hutang (tapi) soalnya menyediakan pendidikan percuma dan itu sedang dilakukan sekarang.
“Kalau kita ambil manifesto contohnya Pakatan Harapan, Barisan Nasional atau Perikatan Nasional, semua ada sebut soal mengurangkan beban kepada pelajar sama ada menerusi pengajian tinggi percuma sedang dilakukan atau mengurangkan kos yuran universiti, keanjalan atau diskaun.
“Semua ini memerlukan tekad bukan sahaja tekad politik sebaliknya memerlukan keupayaan fiskal,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




