nfazlina@nstp.com.my
Machang: Bapa masuk penjara, ibu bapa berpisah dan perkahwinan tidak didaftarkan antara faktor yang dikenal pasti menjadi punca kelewatan daftar kelahiran anak.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sejak 2022 hingga tahun ini, lebih 49,000 kes kelewatan daftar sijil kelahiran direkodkan selain, lebih 20,000 kes kelewatan daftar MyKad.
Katanya, ada juga ibu bapa yang menggunakan alasan faktor kewangan sebagai punca mereka gagal mendaftar sedangkan tiada bayaran dikenakan bagi tujuan berkenaan.
“Secara purata sebanyak 13,000 kes dikesan setiap tahun bagi kes kelewatan daftar sijil kelahiran di seluruh negara.
“Susulan itu, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membuat keputusan kita tidak boleh tunggu di pejabat sebaliknya perlu outreach program dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO).
“Apabila kita jumpa kes, kita akan usaha selesaikan dalam masa terdekat dan sebagai contoh kes hari ini hanya diselesaikan dalam tempoh beberapa minggu sahaja,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Mekar dan Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di Kampung Siput Berlubang, hari ini.
Pada majlis berkenaan, Saifuddin menyerahkan sijil kelahiran dan MyKad kepada sembilan sekeluarga yang berusia lima tahun hingga 44 tahun.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, tiada denda akan dikenakan ke atas mana-mana kes kelewatan daftar sijil kelahiran yang terpencil dan sangat mengalu-alukan kerjasama NGO untuk menyalurkan maklumat kepada JPN.
© New Straits Times Press (M) Bhd




