sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kejohanan Kejuaraan Antarabangsa M8 Langkawi Runbike 2025 mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan lebih 500 pelumba cilik dari dalam dan luar negara, yang bermula hari ini hingga Ahad.
Antara negara mengambil bahagian pada edisi kali ini ialah Thailand, Indonesia dan Singapura yang menghantar seramai 100 pelumba secara keseluruhan, sekali gus menghangatkan lagi saingan.
Presiden The M8 Cycling Club, Datuk Seri Wan Mohd Muzri Ramli berkata, kejohanan kali ini menampilkan pelumba yang memiliki bakat besar dari rantau Asia Tenggara, sekali gus menjadi medan perlumbaan terbaik untuk wakil tempatan dalam setiap kategori dipertandingkan.
“Tahun ini kami jangkakan saingan sangat mencabar apabila setiap negara menghantar wakil terbaik mereka.
“Ini menjadi pentas penting untuk membuktikan siapa paling pantas di Asia Tenggara dalam sukan pushbike.
“Antara yang mencuri tumpuan ialah Maleeq Dragster (Wan Ayden Maleeq), satu-satunya pelumba dari Malaysia yang pernah menjuarai kejohanan di Jepun, selain mencatat kemenangan di Indonesia, Singapura, Filipina dan Thailand, sekali gus menjadikannya calon utama untuk menjuarai kategori terbuka tahun ini.
“Kategori Maleeq paling sengit kerana pelumba ternama seperti Horbint dari Thailand dan Adrian dari Singapura turut turun memberi saingan, begitu juga barisan pelumba dari Indonesia yang hadir dalam jumlah besar,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd