Lebih 50,000 kes cacar monyet direkodkan di seluruh dunia

Lebih 50,000 kes cacar monyet direkodkan di seluruh dunia

GENEVA: Lebih 50,000 kes cacar monyet direkodkan di seluruh dunia berdasarkan perangkaan dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), semalam.

Pertambahan kes direkodkan berlaku biarpun penularan virus itu kini semakin perlahan di lokasi panas, iaitu sekitar Eropah dan Amerika Syarikat (AS).

Papan pemuka WHO menyenaraikan 50,496 jangkitan dan 16 kematian dilaporkan tahun ini kepada agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu yang mengisytiharkan wabak berkenaan sebagai kecemasan kesihatan awam global pada Julai lalu.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus bagaimanapun menekankan, penurunan angka jangkitan baharu ketika ini membuktikan bahawa penularan wabak berkenaan mampu dihentikan.

“Di Amerika yang menyumbang lebih daripada separuh jumlah kes dilaporkan, beberapa negara terus mencatat peningkatan angka jangkitan. Namun, agak memberangsangkan untuk melihat berlaku trend penurunan yang berterusan di Kanada.

Jumlah kes cacar monyet meningkat kepada lebih 3,200 – WHO
“Sesetengah negara Eropah, termasuk Jerman dan Belanda turut menyaksikan perebakan wabak itu jelas semakin perlahan, sekali gus menunjukkan keberkesanan langkah intervensi kesihatan awam serta pembabitan komuniti untuk mengesan jangkitan dan mencegah penularannya.

“Semua tanda itu mengesahkan apa yang kami telah nyatakan secara konsisten dari mula lagi: bahawa dengan langkah yang betul, wabak ini boleh dihentikan,” katanya pada sidang media.

Penularan cacar monyet dilaporkan melonjak sejak awal Mei lalu dalam kalangan lelaki yang mengadakan hubungan seks sejenis, di luar negara Afrika yang telah sekian lama endemik penyakit itu.

WHO mengeluarkan amaran tahap tertinggi pada 24 Julai lalu dengan mengklasifikasikan wabak itu sebagai kecemasan kesihatan awam yang menjadi kebimbangan antarabangsa, sebagaimana COVID-19.

“Menghapuskan cacar monyet memerlukan tiga perkara: bukti bahawa ia boleh berlaku yang mana kita sedang mula melihatnya kini; kemahuan dan komitmen politik; serta pelaksanaan langkah kesihatan awam dalam komuniti yang paling memerlukannya.

“Kita tidak perlu hidup dengan cacar monyet,” kata Tedros.

Hingga kini, kes cacar monyet telah dilaporkan di 101 wilayah, namun hanya 52 wilayah terbabit merekodkan jangkitan baharu dalam tempoh tujuh hari lalu dengan 27 daripadanya mencatat angka satu digit.

Negara yang melaporkan jumlah lebih 1,000 kes cacar monyet kepada WHO ialah AS (17,994), Sepanyol (6,543), Brazil (4,693), Perancis (3,547), Jerman (3,467), Britain (3,413), Peru (1,463), Kanada (1,228) dan Belanda (1,160).

Begitupun, angka jangkitan baharu di AS menunjukkan sedikit penurunan sejak kebelakangan ini, berdasarkan data pihak berkuasa.

Dari segi korban cacar monyet pula, Nigeria melaporkan tiga kematian kepada WHO; Sepanyol dan Republik Afrika Tengah masing-masing dua; manakala Brazil, Belgium, Ecuador, India serta Cuba masing-masing satu kes. – AFP