Lebih 56,000 teks al-Quran disita sepanjang 2025

Lebih 56,000 teks al-Quran disita sepanjang 2025

am@hmetro.com.my

Kulim: Sebanyak 56,946 unit teks dan bahan al-Quran disita dalam tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Percetakan Teks al-Quran 1986 sepanjang tahun lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sitaan itu dibuat hasil pemeriksaan terhadap 12,048 premis di seluruh negara yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Katanya, operasi berkenaan turut membawa kepada pembukaan 302 kertas siasatan dengan nilai penguatkuasaan direkodkan sebanyak RM1,983,151.

“Sepanjang 2025, sebanyak 1,050 perakuan pruf akhir meliputi mushaf cetak, bahan digital dan audio diluluskan bagi memastikan hanya teks al-Quran yang sah dan diperakui berada dalam pasaran.

“Dalam tempoh sama, kita memeriksa 12,048 premis, menyita 56,946 unit teks dan bahan al-Quran serta membuka 302 kertas siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Sambutan Nuzul al-Quran 1447H peringkat negeri Kedah di Kampung Guar Lobak, Padang Serai di sini, malam tadi.

Saifuddin berkata, pencapaian itu adalah hasil pelaksanaan fungsi teras Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN dalam memastikan kesucian, kesahihan dan ketulenan teks al-Quran sentiasa terpelihara.

Katanya, usaha kawal selia turut diperkukuh melalui pelaksanaan pelekat hologram keselamatan yang diwajibkan sejak 2010 bagi memastikan setiap mushaf al-Quran di pasaran sudah melalui proses pengesahan.

“Pelekat hologram ini penting supaya orang ramai tahu mushaf al-Quran yang berada di pasaran adalah yang diperakui KDN,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top