Lebih 6.44 juta daftar penerima vaksin menerusi MySejahtera – Utusan Digital

PUTRAJAYA: Jumlah pendaftaran penerima vaksin Covid-19 kini mencecah 6,442,512 setakat semalam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, jumlah itu merangkumi 26.65 peratus yang berdaftar menerusi aplikasi MySejahtera sebagaimana direkodkan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV).

“Fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 bermula dalam masa terdekat. Daftar untuk vaksinasi sekarang melalui MySejahtera, melalui laman web https://www.vaksincovid.gov.my/daftar/ atau menghubungi talian 1-800-828 ,” katanya menerusi Twitter beliau hari ini.

Daripada jumlah pendaftaran menerusi MySejahtera itu, Selangor merekodkan jumlah pendaftaran tertinggi iaitu 1,843,619 orang diikuti Johor (820,260 orang), Kuala Lumpur (568,047 orang), Sarawak (504,262 orang), Pulau Pinang (463,911 orang) dan Perak 454,008 orang.

Selain itu, Kedah 329,979 orang, Sabah (290,094 orang), Negeri Sembilan (263,861orang), Pahang (252,662 orang), Melaka (205,218 orang), Kelantan (173,820 orang) dan Terengganu 166,106 orang.

Sementara itu, bagi negeri populasi kecil merekodkan Putrajaya 44,247 orang berdaftar; Perlis 40709 orang dan Labuan 21,709 orang.

Adham berkata, jumlah pemberian dos vaksin setakat semalam adalah 481,989 dengan dos pertama berjumlah 430,368 dan dos kedua pula 51,621.

Menurut beliau, Selangor merekodkan pemberian vaksin tertinggi dos pertama dengan 58,552 individu diikuti Perak (49,451), Sabah (41,125), Kuala Lumpur (37,524) dan Sarawak (36,103).

Katanya, jumlah di Pahang pula mencatatkan seramai 33,317 individu, Johor (31,451), Kedah (26,293), Pulau Pinang (30,394), Kelantan (19,734), Negeri Sembilan (19,639) dan Terengganu (19,698).

“Sementara itu di Melaka seramai 10,875 individu menerima vaksin, Perlis (9,526 individu), Putrajaya (4,612 individu) dan Labuan 2,344 indvidu,” katanya. – UTUSAN ONLINE