KUT – Sekurang-kurangnya 61 orang terbunuh dalam satu kebakaran besar yang memusnahkan sebuah pusat beli-belah baharu di bandar Kut, timur Iraq lewat malam Rabu, menurut pihak berkuasa pada Khamis.
Menurut pegawai, kebanyakan mangsa maut akibat sesak nafas di dalam bilik air, manakala seorang lelaki memberitahu AFP bahawa lima ahli keluarganya terkorban dalam lif.
Kebakaran itu berlaku di pusat beli-belah Corniche Hypermarket yang baharu sahaja dibuka beberapa hari lalu dan dipercayai bermula di tingkat satu sebelum api pantas merebak ke seluruh bangunan lima tingkat itu.
Punca kebakaran masih belum diketahui, namun seorang mangsa yang terselamat mendakwa ia berpunca daripada letupan pendingin hawa.
Video di media sosial menunjukkan orang ramai termasuk kanak-kanak berada di atas bumbung sambil menjerit meminta pertolongan.
Seorang lelaki, Ali Kadhim, 51, berkata, beliau masih belum menemui sepupunya bersama isteri dan tiga anak mereka dan berulang-alik antara pusat beli-belah dan hospital utama sejak malam kejadian.
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri memaklumkan, âKebakaran tragis ini meragut nyawa 61 mangsa tidak bersalah, kebanyakannya mati sesak nafas di dalam tandas, termasuk 14 mayat yang rentung dan belum dapat dikenal pasti.â
Agensi Berita INA kemudian melaporkan jumlah korban meningkat kepada 63 orang dengan 40 lagi cedera.
Gabenor Wilayah Wasit, Mohammed al-Miyahi berkata, mangsa yang terkorban termasuk lelaki, wanita dan kanak-kanak.
Seorang doktor tempatan memaklumkan terdapat âbanyak mayat tidak dikenaliâ, dan seorang wartawan AFP melaporkan melihat mayat yang hangus di unit forensik wilayah berkenaan.
Pasukan penyelamat berjaya menyelamatkan lebih 45 orang yang terperangkap di dalam bangunan tersebut, yang turut menempatkan restoran dan pasar raya.
Sehingga jam 4 pagi (waktu tempatan), ambulans masih membawa keluar mangsa, sementara wad-wad di Kut sesak dengan mangsa kebakaran.
Dr. Nasir al-Quraishi, berusia 50-an berkata, beliau kehilangan lima ahli keluarga dalam kebakaran itu.
âSatu bencana telah menimpa kami.
âKami ke pusat beli-belah untuk makan malam dan mengelak gangguan elektrik di rumah. Tiba-tiba penghawa dingin di tingkat dua meletup dan api marak sehingga kami tak sempat lari,â katanya.
Moataz Karim, 45, berkata, beliau tergesa-gesa ke lokasi sebaik mendengar berita kebakaran, namun hanya untuk menerima khabar duka bahawa tiga saudaranya hilang.
Beberapa jam kemudian, beliau berjaya mengenal pasti dua mayat walaupun dalam keadaan rentung, salah seorangnya baru bekerja di situ tiga hari lalu.
âTiada sistem pemadam api langsung,â katanya kecewa di luar bilik forensik.
Keselamatan bangunan di Iraq sering diabaikan, dengan kemudahan asas yang lemah akibat konflik berpanjangan. Kebakaran sering berlaku, terutama pada musim panas apabila suhu mencecah 50 darjah Celsius.
Pada September 2023, sekurang-kurangnya 100 orang terbunuh dalam kebakaran di dewan majlis perkahwinan, manakala pada Julai 2021, lebih 60 orang maut dalam kebakaran unit Covid-19 di sebuah hospital.
Gabenor Miyahi mengisytiharkan tiga hari berkabung di Wilayah Wasit dan memaklumkan kerajaan tempatan akan memfailkan saman terhadap pemilik pusat beli-belah dan kontraktor pembinaan.
âTragedi ini satu kejutan besar… dan perlu disusuli dengan semakan serius terhadap semua langkah keselamatan,â katanya.
Perdana Menteri, Mohammed Shia al-Sudani mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan bagi mengenal pasti kelemahan dan mengelakkan kejadian serupa pada masa hadapan.
Pemimpin tertinggi Syiah Iraq, Grand Ayatollah Ali Sistani, turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa. â AFP