Lebih 600 terbunuh di Iran dalam konflik 12 hari

Lebih 600 terbunuh di Iran dalam konflik 12 hari

Istanbul: Sekurang-kurangnya 606 orang terbunuh dan 5,332 lagi cedera dalam serangan Israel ke atas Iran sejak 13 Jun, menurut Kementerian Kesihatan Iran pada Selasa.

Anadolu Ajansi (AA) melaporkan yang kementerian itu mengesahkan wanita dan kanak-kanak turut termasuk dalam kalangan mangsa, namun tidak memberikan butiran lanjut.

Israel melancarkan serangan udara ke atas beberapa lokasi di Iran sejak 13 Jun, termasuk kemudahan ketenteraan dan nuklear, dengan mendakwa Tehran berada di ambang menghasilkan bom nuklear dakwaan yang dinafikan sekeras-kerasnya oleh Iran.

Iran pula melancarkan serangan balas menggunakan peluru berpandu dan dron, manakala Amerika Syarikat (AS) turut campur tangan dengan mengebom tiga tapak nuklear Iran pada Ahad.

Selepas 12 hari pertempuran udara antara dua musuh ketat serantau itu, Presiden AS Donald Trump pada Isnin mengumumkan satu gencatan senjata antara Israel dan Iran bagi menamatkan konflik mereka.

Gencatan senjata itu mula berkuat kuasa pada 0400GMT Selasa, menamatkan “perang 12 hari” itu.

Namun begitu, Menteri Pertahanan Israel Israel Katz, pada awal pagi Selasa mengarahkan tenteranya melancarkan serangan ke atas Tehran, dengan mendakwa Iran melanggar perjanjian gencatan senjata. Iran menafikan dakwaan itu dan berikrar bertindak balas terhadap sebarang serangan baharu.

Trump kemudiannya pada hari yang sama meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Israel, sambil menyatakan baik Tel Aviv mahupun Tehran, melanggar perjanjian gencatan senjata.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top