Lebih 7,000 pasukan keselamatan diatur gerak ke Kelantan

Lebih 7,000 pasukan keselamatan diatur gerak ke Kelantan

nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu: Lebih 7,000 pegawai dan anggota pasukan keselamatan diatur gerak ke Kelantan bagi membantu mangsa banjir di negeri itu, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya pelbagai aset turut dihantar sejak lapan hari lalu bagi

melancarkan operasi menyelamat.

“Antara aset yang diatur gerak adalah trak tiga tan dan lima tan. Kita sedang mengatur untuk menghantar trak yang lebih besar iaitu muatan tujuh tan.

“Segala aset berkenaan dikendalikan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Pada masa sama, persatuan nelayan juga menawarkan khidmat untuk membantu operasi bagi kawasan yang terkesan,” katanya pada sidang media selepas melawat PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tapang, di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, banjir kali ini lebih teruk berbanding bah kuning pada 2014 terutama di Parlimen Rantau Panjang.

Katanya sembilan balai polis di dua daerah Pasir Mas dan Tumpat juga terjejas banjir, namun aspek keselamatan negara tetap terkawal termasuk dengan kerahan dengan kerjasama Pasukan Gerakan Am dan Angkatan Tentera Malaysia.

“Kesemua pegawai dan anggota polis berkenaan terpaksa dipindahkan ke tempat lain susulan balai terbabit terjejas.

“Pada masa sama, kita atur gerak pegawai dan pasukan dari negeri lain untuk membantu Kelantan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top